SEPANG: Seorang penyelam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan memulakan hantaran komen jelik dan jelik melampau sifatnya terhadap anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar menerusi laman media sosial Facebook awal tahun ini.
Tertuduh Ruslan Mat Ali, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang juga bapa tunggal membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik dan jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Facebook Ruslan Mat Ali.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesemua penghantaran itu didakwa dilakukan antara 21 Januari hingga 25 Februari lalu lalu.
Bagi pertuduhan pertama, penghantaran itu dilihat pada 4 Februari lalu sekitar pukul 7 pagi di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Bagi pertuduhan kedua hingga ke-11 pula, penghantaran itu dilihat pada 26 Februari lalu antara pukul 1.51 tengah hari hingga 4.30 petang di Centre of Excellence MCMC, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung tiga orang anak.
Ahmad Fuad kemudian memerintahkan agar Ruslan dikenakan jaminan RM10,000 dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 18 Julai ini. Ruslan bagaimanapun gagal membayar wang jaminan tersebut dan direman sehingga tarikh sebutan kes. – UTUSAN