BEGITULAH lumrah orang berhutang agaknya. Mungkin tidak semua, tetapi wujud sahaja orang yang begini. Dia yang berhutang, dia pula yang berlagak macam orang berhutang dengan dia.
Hendak dijadikan cerita, Cik Bunga dengar seorang penyanyi lelaki ini selalu sangat meminjam duit dengan orang lain. Ada yang dia sudah selesai bayar, ada lagi yang belum selesai.
Pendek kata bukan dengan seorang individu sahaja dia meminjam. Jenis kata orang, try and error, tabur jala. Mana yang mengena, nasiblah.
Okeylah, kalau dia pinjam dan kemudian dia bayar tak apalah juga. Tapi adalah beberapa orang si pemberi hutang mengadu pada sumber Cik Bunga, kononnya penyanyi lelaki ini cukup liat hendak bayar duit mereka semula.
Tidak pula Cik Bunga tahu jumlah sebenar duit yang telah dipinjam oleh artis ini. Tapi, tak kisahlah banyak mana sekali pun, nama pun hutang.
Bayarlah dik! Apa yang membuatkan mereka terkilan, si artis ini sibuk membeli kereta baharu. Berjenama jugalah.
Jadi harganya mesti bukan biasa-biasa ye tak? Iyalah kalau beli yang biasa, jenama tempatan, nanti orang perlekeh pula. Dia artis tak akanlah hendak pakai kereta Axia saja. Aduhai meluat pula Cik Bunga.
Bukan kita perlekeh orang yang guna kereta Axia, sebabnya ada artis yang tak kisah pun guna jenama tempatan, merendah diri. Tapi yang seorang ini nampaknya tidaklah kot ya. Biar papa asal bergaya.
Cik Bunga pun pelik dengan selera orang begini. Kalau iya pun, segerakanlah bayar hutang orang yang sedia ada.
Esok-esok tak menyusahkan anak bini, saudara mara untuk bayarkan bila awak tiba-tiba Tuhan ‘panggil balik’. Cik Bunga cuma cakap saja, fikir-fikirkanlah.