PETALING JAYA: Pengarah filem Blood Brothers: Bara Naga, Syafiq Yusof, terharu dengan respons baik penonton ketika tayangan perdana filem tersebut di Jakarta, Indonesia minggu lalu.
Malah Syafiq atau Mohd Syafiq Mohd Yusof, 32, merasakan nasib Blood Brothers akan menjadi lebih baik berbanding filem sebelumnya, Sheriff: Narko Integriti melihat kepada ulasan dan perkongsian media sosial sejak filem ditayangkan secara rasmi bermula Rabu.
“Saya terharu sebab semasa malam gala tempoh hari, habis sahaja filem penonton berdiri dan beri tepuk tangan. Waktu filem tayang pun kita dapat respons mereka jerit, gelak ketawa sama meriah macam tayangan di Malaysia.
“Setakat ini filem Blood Brothers banyak dibahaskan di sana. Saya juga secara terbuka minta mereka kritik filem ini supaya boleh belajar daripada mereka.
“Kita tahu filem aksi mereka mempunyai kualiti tinggi dan saya menghargai segala respons untuk buat lebih baik lagi di masa akan datang,” katanya.
Syafiq ditemui Utusan Malaysia di majlis malam gala filem animasi Jumbo di Starling Mall, malam tadi.
Tambah Pengarah Terbaik Filem, Anugerah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia 2017 itu lagi, bukan kutipan menjadi keutamaan tapi peluang untuk rakyat republik itu mengenal lebih banyak karya Malaysia.
“Sejak 2024, kita ada lebih 100 filem Indonesia yang tayang di Malaysia. Tapi filem kita ke sana tak sampai lima.
“Untuk capai keseimbangan kita kena ada promosi yang kuat dan berterusan. Selepas ini Ejen Ali 2 pun akan masuk ke sana, kita perlukan dinamik ini untuk capai pasaran nusantara dan memahami seni.
“Filem Indonesia walaupun bajet rendah, tapi berkualiti. Jjadi kita kena setara kalau mahu masuk ke pasaran mereka.
Difahamkan, filem Blood Brothers ditayangkan di 40 pawagam seluruh Indonesia bermula hujung minggu ini.
Terdahulu, filem Blood Brothers berjaya mengutip RM76 juta sepanjang tayangan di Malaysia. – UTUSAN