Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian meninggal dunia - Utusan Malaysia

Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, 49, meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, di sini selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira pukul 2 petang tadi.

Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani proses bedah siasat dan dijangka akan dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan.

Menurut pembantu rumahnya, Khusnul Khotimah, 23, arwah sudah dua minggu mengadu sakit-sakit badan dan sering meminta ditemani kerana takut tinggal sendirian.

“Arwah sudah dua minggu dalam keadaan kurang sihat, cuma hari ini keadaannya nampak lebih teruk. Pagi tadi, dia ada cakap sakit badan dan minta saya urutkan.

“Kemudian, pada jam 1 tengah hari tadi saya ada suapkan arwah air, tetapi arwah seolah-olah tidak dapat menelannya dan memuntahkan kembali. Selepas itu, keadaan kesihatannya semakin merosot.

“Saya agak panik dan keluar rumah untuk mendapatkan bantuan. Saya maklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum ada jiran datang untuk membantu,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di sini, hari ini.

Allahyarham memulakan karier sebagai wartawan sambilan BH di Biro BH Kuala Terengganu pada usia 18 tahun, sebelum ditawarkan jawatan wartawan Harian Metro (HM).

Sepanjang karier, Allahyarham bertugas di beberapa unit termasuk berita, jenayah dan hiburan di HM dan BH.

Cukup dikenali sebagai wartawan hiburan, Allahyarham menghasilkan banyak artikel menarik termasuk berita eksklusif seperti penderitaan penyanyi veteran, Sahara Yaacob yang hidup menumpang di stor dan pelbagai pendedahan lain.

Allahyarham juga mempunyai hubungan rapat dengan artis ternama Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan banyak menulis mengenai Biduanita Negara itu.

Arwah juga rapat dengan bintang veteran, Noorkumalasari dan keluarga Datuk Yusof Haslam.

Allahyarham pernah meraih Anugerah Penulis Pojok Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) pada 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN