Penolong pegawai kesihatan didakwa terima rasuah RM3,000

Penolong pegawai kesihatan didakwa terima rasuah RM3,000

MOHD. AZRUL NAZWAN A. Rani didakwa menerima rasuah RM3,000 daripada pengurus restoran di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. / BAAZLAN IBRAHIM 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan RM3,000, tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Mohd. Azrul Nazwan A. Rani, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang pengurus restoran sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di sebuah restoran di Merlin Tower, Jalan Meldrum, di sini antara pukul 8 hingga 9 malam, 25 Julai tahun lalu. 

Dia didakwa Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Arifin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes itu tidak boleh dijamin, namun peguam bela, Ahmad Syafiq Mohd. Ghazali  memohon jaminan sebanyak RM5,000 memandangkan tertuduh menanggung isteri dan ibu mentua selain terpaksa menjalani dialisis buah pinggang sebanyak tiga kali seminggu yang menelan kos sebanyak RM3,920 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta turut menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN