PUTRAJAYA: Penjawat awam diminta mempertahankan inisiatif Kota Madani yang dirangka kerajaan demi kebajikan mereka dengan penyediaan 10,000 unit kuarters moden, susulan wujudnya suara-suara sumbang yang mempertikai pembangunan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan antara usaha strategik kerajaan untuk menyediakan perumahan berkualiti kepada penjawat awam tanpa membebankan kewangan negara.
“Saya tidak faham mengapa ada yang membantah. Mungkin mereka mewakili kontraktor tertentu atau ada kepentingan lain.
“Tetapi apabila Putrajaya Holdings (PjH) bersama Perbadanan Putrajaya sendiri mampu mengurus pembangunan tanpa melibatkan perbelanjaan langsung kerajaan, kenapa perlu dipertikai?
“Sebab itu saya seru rakan-rakan dalam perkhidmatan awam untuk fahami fakta, hayati maksud sebenar Kota Madani dan pertahankan inisiatif ini. Jika perlu, kita akan minta Perbadanan Putrajaya turun padang beri penjelasan kepada semua jabatan,” katanya ketika berucap dalam majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Kota Madani yang diluncurkan kerajaan baru-baru ini dijangka menyediakan 3,000 unit rumah pada fasa pertama, sebelum berkembang kepada 10,000 unit dalam fasa kedua bagi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan penjawat awam yang masih menunggu kemudahan perumahan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pembinaan kuarters itu akan menampilkan konsep bandar moden berpaksikan nilai-nilai Madani, dengan penekanan terhadap kesejahteraan hidup, keselesaan dan akses mudah kepada kemudahan asas.
“Kita bukan bina rumah semata-mata. Ia dilengkapi sekolah, masjid, kemudahan sukan dan rekreasi, kawasan hijau dan semua itu dalam lingkungan 10 hingga 15 minit perjalanan. Inilah wajah kota baharu yang ingin kita bentuk,” jelasnya.
Menurut Perdana Menteri, isu kuarters rosak yang membelenggu penjawat awam selama ini juga telah ditangani secara serius oleh kerajaan.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hampir 98 peratus unit kuarters yang rosak telah dibaik pulih dan kini dihuni semula. Tapi kita tahu itu belum cukup kerana masih ada ribuan lagi yang menunggu,” katanya.
Tegas beliau, keperluan perumahan untuk penjawat awam akan terus meningkat, dan sebab itulah projek Kota Madani perlu diteruskan dan dipertahankan daripada mainan politik pihak tidak bertanggungjawab.
“Jangan kita benarkan usaha baik ini dijadikan bahan politik murahan. Ini hak penjawat awam yang telah berkorban demi negara,” katanya. – UTUSAN