SUNGAI PETANI: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan memiliki naskhah al-Quran tanpa kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada Mac tahun lepas.
Tertuduh, Syaher Ikmil Abd. Rahim, 35, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki 100 naskhah al-Quran Al-Fathan tiada kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran KDN dalam bonet kereta miliknya di ruang letak kereta Econsave, Jalan Kuala Ketil pada pukul 2 petang, 21 Mac 2024.
Bagi pertuduhan kedua, Syaher Ikmil didakwa memiliki 60 al-Quran Al-Fathan saiz A4; 13 mushaf An-Nur saiz A4; dua mushaf An-Nur saiz B5; lapan al-Quran An-Nur saiz A4; enam al-Quran Al-Hadi saiz A4; dua al-Quran Al-Fatih saiz A4 dan senaskhah al-Quran Asy-Syifa saiz A4, juga tiada kelulusan sama.
Kesalahan didakwa dilakukan pada tarikh sama, pukul 2.40 petang di premis perniagaan miliknya di No 127, Tingkat 1, Jalan Bukit Puteri 9/11, Bandar Puteri Jaya, di sini.
Pertuduhan bagi dua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 13(1) Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Kedah, Ameerul Izzat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Khairatul Animah memerintahkan Syaher Ikmil melantik peguam untuk menghadapi perbicaraan kes berkenaan yang dijadualkan pada 7 Ogos nanti. – UTUSAN