GUA MUSANG: Meredah laluan balak berlumpur, menyeberangi sungai serta mendaki dan menuruni bukit selama lima jam dengan menunggang motosikal merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, sebuah sekolah pedalaman di Gua Musang, Kelantan.
Berulang-alik sejauh 120 kilometer setiap minggu, nyawa mereka juga terancam apabila perlu berdepan dengan ancaman alam semula jadi di samping faktor cuaca, binatang buas dan pelbagai kepayahan lain yang menuntut kesabaran tinggi dalam kalangan warga pendidik.
Jika cuaca kering, perjalanan ke SK Balar mengambil masa antara empat hingga lima bergantung kepada faktor perjalanan. Seandainya hujan, perjalanan boleh mencecah lebih 13 jam dan ada kalanya guru-guru ini tersadai di tengah-tengah belantara menunggu air surut dan hujan berhenti.
Bagi yang tidak biasa, situasi itu pasti memberikan tekanan sekali gus boleh menghilangkan minat tanggungjawab sebagai pendidik kepada 306 murid bermula tahun satu sehingga enam.
Namun tidak bagi Guru Besar SK Balar, Mohd. Fadzeli Ibrahim, 48, yang meletakkan tanggungjawab sebagai pembakar semangat dalam melawan tekanan semasa meredah belantara untuk sampai ke sekolah seterusnya bertemu dengan anak-anak Orang Asli.
“Sebagai salah seorang 22 guru, saya perlu menjiwai watak pendidik dengan meletakan amanah dan tanggungjawab di hadapan walaupun berdepan apa jua cabaran.
“Saya tukar cabaran yang diharungi sepanjang meredah belantara itu sebagai amal ibadat untuk bekalan di negeri abadi nanti,” katanya yang sebelum ini pernah mengajar di kawasan bandar.

MAKAN NASI BASI
Bercerita lanjut, Mohd. Fadzeli mendedahkan dia pernah makan nasi basi selepas terkandas selama 12 jam semasa dalam perjalanan masuk ke SK Balar.
Katanya, cabaran itu dilaluinya ketika musim tengkujuh dan menyaksikan guru-guru SK Balar perlu berdepan dengan selut tebal dan jalan balak selain arus deras air sungai.
“Walaupun basi, kami terpaksa telan untuk alas perut. Kami bertolak dari rumah transit pada pukul 5 petang dan tiba di sekolah 5 pagi. Sepanjang perjalanan itu, kami berdepan pelbagai cabaran dari segi permukaan jalan yang berselut tebal.
“Situasi itu menyebabkan kami terpaksa menolak, mengangkat motosikal ke atas bukit secara bergilir-gilir sehingga semuanya sampai dengan selamat di sekolah,” katanya.
Mohd. Fadzeli berkata, paling mencabar ketika itu apabila banyak motosikal guru-guru SK Balar mengalami kerosakan dan terpaksa dibaiki sebelum kembali menyambung perjalanan.
HANYA PULANG RUMAH KETIKA CUTI SEKOLAH
Seorang lagi tenaga pengajar SK Balar, Wan Nur Syahirah Wan Harun, 25, yang berasal dari Kota Bharu memberitahu, dia hanya pulang ke rumah semasa cuti panjang persekolahan.

“Hujung minggu biasa saya akan bersama dengan anak-anak SK Balar yang tinggal di asrama.
“Sekiranya mahu pulang, saya akan menyewa trak pikap atau pacuan empat roda sehingga ke Kuala Betis dan kemudian menyambung perjalanan ke Kota Bharu,” katanya.
Menurutnya, jika sampai lewat di Kuala Betis, dia memilih untuk berehat di Gua Musang dan menyambung pemanduan pulang ke rumah di Kota Bharu.
Katanya, walaupun penat namun atas dasar tanggungjawab, dia tetap melihat cabaran itu sebagai perkara positif.
‘RAMAI TIDAK TAHU KEPAYAHAN KAMI’
Seorang lagi warga pendidik, Ben Zaid berkata, tindakannya berkongsi video cabaran dan kepayahan yang dilalui oleh guru-guru SK Balar sebelum ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang bertugas di kawasan pedalaman.
Katanya, pendedahan itu supaya masyarakat di luar sana tahu bagaimana kepayahan guru-guru pedalaman melaksanakan tanggungjawab serta amanah sebagai pendidik.

“Saya harap perkongsian itu memberi inspirasi kepada bakal-bakal guru dan inilah suasana sebenar yang akan mereka harungi apabila bertugas sebagai pendidik nanti.
“Setiap minggu kami guru-guru di sini berdepan pelbagai situasi cuaca dan permukaan jalan. Namun musim tengkujuh adalah yang paling mencabar buat kami untuk sampai ke Pos Balar.
“Boleh dikatakan SK Balar adalah sekolah Orang Asli paling mencabar di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
MASALAH KOMUNIKASI
Mohd. Arif Mohamad, 38, yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Asrama di SK Balar berkata, dia memilih untuk belajar bahasa Temiar supaya lebih dekat dengan anak-anak Orang Asli di SK Balar selain memudahkan komunikasi.
Katanya, hal ini kerana dia berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dengan murid-murid berusia tujuh tahun yang terpaksa tinggal di asrama akibat rumah mereka jauh dari sekolah.
“Bila saya berjaya kuasai bahasa Temiar hubungan kami menjadi lebih rapat dan komunikasi lebih mudah. Jadi mereka mudah memahami setiap arahan yang diberikan,” katanya.

Mohd. Arif memberitahu, sepanjang 18 tahun bertugas di SK Balar, dia pernah ditawarkan untuk kembali berkhidmat di kawasan bandar.
Namun disebabkan perasaan cinta kepada SK Balar dia memilih terus kekal berkhidmat di sini walaupun berdepan cabaran getir untuk sampai untuk sampai ke sekolah. – MINGGUAN










