Penggunaan bas persiaran disewa pelajar diteliti

Penggunaan bas persiaran disewa pelajar diteliti

ZAMBRY Abdul Kadir (tengah) memeluk bapa Allahyarham Nurly Sahirah, Azman Mohamad semasa Program Ziarah Kasih KPT UPSI di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jerteh, Besut, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti cadangan berhubung penggunaan bas persiaran yang disewa oleh pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya bagi perjalanan pada waktu malam.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pengurusan universiti perlu memainkan peranan proaktif dengan memastikan komunikasi dan pemantauan rapi terhadap pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Katanya, KPT telah meminta semua universiti mewujudkan komunikasi berterusan dengan langkah-langkah yang sesuai bagi memantau pelajar mereka yang menaiki bas persiaran.

“Kita mengambil maklum segala pandangan termasuk yang dikemukakan dalam media sosial, supaya kejadian tidak diingini tidak berulang.

“Kementerian tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan isu melibatkan keselamatan pelajar, terutama jika melibatkan kematian sepertimana yang telah berlaku,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini hari ini.

Allahyarham Nurly Sahirah merupakan antara 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.

Hadir sama Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff; Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.

Berhubung bantuan kepada mangsa, Zambry berkata, kerajaan melalui KPT telah mengumpulkan peruntukan sebanyak RM1.7 juta  hasil sumbangan pelbagai pihak sebagai sumbangan awal.

“Kerajaan juga memperuntukkan setiap keluarga mangsa yang terkorban menerima sumbangan RM10,000, manakala yang cedera menerima RM5,000. Bagi pelajar yang mengalami kecederaan kekal, kita akan pastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN