Pengendali kenderaan berat, bas ekspres diarah ubah budaya keselamatan

Pengendali kenderaan berat, bas ekspres diarah ubah budaya keselamatan

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pengendali kenderaan berat dan bas ekspres diarah memberi perhatian yang serius terhadap budaya keselamatan di dalam syarikat masing-masing.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, pendedahan senarai nama syarikat dengan saman tertunggak tertinggi merupakan satu amaran untuk ‘mengejutkan’ mereka agar dapat mengubah budaya mengendalikan syarikat dengan memastikan setiap kenderaan dan pemandu patuh kepada keselamatan.

“Kita buat begini sebagai langkah amaran kepada syarikat pengendali yang lain, kita tak nak dedahkan semua nama syarikat, hanya yang paling serius kita dedahkan dan yang lain itu kita beri amaran supaya mereka perlu berbuat sesuatu.

“Yang pertama adalah untuk menyemak jumlah saman tertunggak dan yang lebih penting apa kita hendak buat melalui pendekatan ini adalah sebagai peringatan kepada semua syarikat pengendali supaya mengubah budaya keselamatan dalam syarikat masing-masing,” katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.

Terdahulu, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan senarai 28 buah syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertinggi atas pelbagai kesalahan.

Sebanyak 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dikenal pasti mempunyai lebih 1,000 saman tertunggak dan 17 syarikat pengendali bas ekspres yang mempunyai lebih 200 saman.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kementerian dan rakyat di luar sana mahu melihat satu perubahan budaya berlaku agar tragedi sama melibatkan bas yang mengorbankan banyak nyawa tidak berulang lagi.

“Saya tak mahu orang kata JPJ hanya ambil tindakan selepas kemalangan berlaku. Ini pendekatan kita sekarang iaitu kita mesti mengambil langkah pencegahan dengan memberi amaran kepada syarikat pengendali. Kita ambil tindakan ke atas mereka supaya mereka boleh ambil langkah pencegahan sebelum sesuatu tragedi boleh berlaku.

“Ini yang kita hendak capai melalui pendekatan pada hari ini, walaupun ia agak drastik dan tidak pernah dibuat sebelum ini tapi kerana rakyat mahu melihat ada perubahan budaya. Biar lah tragedi yang melibatkan pelajar-pelajar UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) sebagai tragedi yang menjadi pengajaran kepada semua dan ia tidak berulang lagi.

“Jangan ambil ringan isu keselamatan, semua syarikat pengendali saya mohon dan rayu untuk beri perhatian yang serius kepada budaya keselamatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN