ADA sebuah gelombang dalam industri seni negara apabila kita menyaksikan ramai pengarah baru hadir dengan filem debut mereka tahun ini. Setakat Jun, kita menerima pelbagai gaya bercerita dan genre filem baik drama, thriller, seram sehinggalah aksi komedi.
Antara pengarah yang berani mempertaruhkan naskhah tahun ini adalah Chester Pang (Mantera), Anwari Ashraf (Keluang Man), Nadia Khan (Gantung: Musketeer Code) Zahiril Adzim (Martabat Misi Berdarah) dan Megat Sharizal (Mencari Ramlee).
Namun begitu, tidak semua naskhah pertama akan memperoleh kejayaan seperti dibayangkan misalnya ada filem yang tidak berjaya memperoleh kutipan sekurang-kurangnya satu juta ringgit atau filem terpaksa ditarik daripada pawagam kerana sambutan kurang memuaskan.
Pengarah, Syafiq Yusof berharap kekecewaan ini tidak akan bersarang lama dalam hati penggiat seni. Mengimbau kembali permulaan perjalanan bergelar sutradara pada usia 19 tahun, Syafiq mendedahkan tidak semua filem bikinannya diingati penonton.
“Saya sudah buat lebih daripada 13 filem. Bukan semua filem saya laku. Tapi mungkin kelebihan saya ada bapa yang selalu ingatkan berkali-kali ‘jangan putus asa, jangan putus asa, jangan putus asa’.
“Bukannya jika satu filem gagal, kita tak boleh nak buat filem seterusnya. Falsafah saya pula, laku atau tidak bukan kayu ukur sebenar. Ada banyak filem yang bagus tapi tidak laku. Ada banyak juga filem tak bagus tapi laku.
“Apa yang penting ialah kita teruskan berkarya. Teruskan bercerita,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pemegang Anugerah Khas Ikon Belia Wilayah Persekutuan 2025 ini juga tidak menafikan, nasib badannya mungkin sedikit lebih baik kerana mempunyai bapa yang boleh mendanai projek filemnya walaupun berhadapan sejarah dengan kutipan tidak memberangsangkan.
Oleh itu, Syafiq sedar, situasi yang dihadapi pengarah lain jauh lebih sukar membuatkannya mempunyai rasa hormat yang sangat tinggi kepada mereka.
“Saya fikir, kita ada banyak pemikir dan pengkarya yang bagus cuma mereka tidak diberikan peluang. Sejujurnya, saya di sini pun kerana ayah saya yang beri peluang. Sedangkan yang lain, saya tahu mereka sukar memperoleh kesempatan itu.
“Tapi dengan kemunculan syarikat seperti Komet Studios yang mahu melabur dalam filem, ia menjadikan ekosistem filem di Malaysia lebih sihat. Saya percaya Malaysia mempunyai pasaran yang besar,” katanya.
Melihat industri perfileman negara yang semakin rancak dan kepercayaan penonton yang jauh lebih baik, Syafiq mengajak lebih ramai pelabur untuk berani kehadapan menawarkan peluang pelaburan terhadap filem tempatan.
“Kepada pelabur, ini adalah masa yang sesuai untuk melaburkan dalam filem tempatan. Buktinya? Sejak tiga tahun lepas filem tempatan kita lebih laku berbanding filem-filem dari Hollywood,” ceritanya.