PONTIAN: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, termasuk lebih enam kilogram (kg) dadah jenis MDMA bulan lalu.
Tertuduh, Lau Keat Lim, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arina Azmin Ahmad Marzuki. Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan utama, tertuduh didakwa mengedar 6.4kg dadah jenis MDMA di sebuah rumah di Taman Mutiara, pada jam 6.10 petang, 21 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan dan tidak dijatuhkan hukuman mati.
Selain itu, Keat Lim turut berdepan tiga lagi pertuduhan memiliki 20.04 gram methamphetamine, 5.66 gram ketamin dan 1.06 gram methamphetamine di lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Sahira Rosley mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia. – UTUSAN