GEORGE TOWN : Pulau Pinang melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh hubungan serantau apabila syarikat penerbangan Cambodia Airways melancarkan penerbangan terus dari ibu negara Kemboja, Phnom Penh ke negeri ini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pelancaran laluan baharu itu amat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 sekali gus membantu memperkukuh peranan strategik Pulau Pinang dalam rangkaian penerbangan serantau.
“Laluan ini bukan sahaja menambah satu lagi koridor udara yang menghubungkan Pulau Pinang dengan jiran di ASEAN, malah, ia turut menyerlahkan peranan negeri ini sebagai hab penting dalam hubungan serantau,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, penerbangan pertama dari Phnom Penh (KR785) berlepas pada pukul 8.05 pagi waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada pukul 10.55 pagi tadi.
Katanya, perkhidmatan itu dijadualkan dua kali seminggu, iaitu pada Khamis dan Ahad.
Jelas Hon Wai, Kemboja kini menjadi negara ASEAN keenam yang mempunyai penerbangan terus ke Pulau Pinang selepas Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Myanmar sekali gus menandakan peningkatan ketara dalam aksesibiliti udara negeri ini.
“Rangkaian penerbangan serantau yang semakin padat mencerminkan keterhubungan dinamik ASEAN dan menyerlahkan lagi tahap aksesibiliti Pulau Pinang,” katanya.
Ujar beliau, satu pasukan khas dari Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) juga telah dihantar ke Phnom Penh bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama Cambodia Airways mengenai promosi dan kerjasama jangka panjang.
Dalam pada itu, Hon Wai memberitahu, laluan baharu itu bukan sahaja penting untuk sektor pelancongan umum, malah, ia memberi manfaat besar kepada pelancongan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran atau MICE yang sedang berkembang pesat di Pulau Pinang.
“Hubungan udara yang dipertingkatkan ini juga memberi kemudahan kepada perwakilan dan pelancong korporat serta memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi MICE terkemuka di rantau ini,” katanya.-UTUSAN