KUALA SELANGOR: Penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama menuntut ganti rugi RM1.6 juta terutama daripada pihak pemaju ekoran insiden benteng kolam takungan pecah berulang di kawasan itu.
Tuntutan itu disuarakan 28 pemilik yang kediaman mereka telah tiga kali terjejas sejak 2015.
Peguam mewakili penduduk, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor berkata, pihaknya akan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada pihak terlibat dalam masa terdekat atas faktor kerosakan harta benda yang berpunca daripada kolam takungan berkenaan.
“Tuntutan RM1.6 juta itu adalah anggaran awal antaranya meliputi kerosakan struktur rumah, perabot, kenderaan dan kos pembersihan yang ditanggung penduduk.
“Kami akan hantar LOD terlebih dulu. Jika tiada maklum balas memuaskan dalam tempoh 14 hari, kami akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak 35 rumah di taman itu terjejas selepas dinaiki air akibat limpahan kolam berkenaan yang pecah lagi, 23 April lalu.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu berlaku ketika hujan lebat hingga menyebabkan ratusan penduduk kelam kabut memindahkan barang dan kenderaan ke tempat selamat.
Benteng kolam itu pecah buat kali ketiga selepas kejadian kedua berlaku pada 29 Disember tahun lalu yang menjejaskan 200 rumah manakala kali pertama ketika 2015.
Kerajaan Selangor menjangkakan langkah penyelesaian muktamad berhubung isu itu dapat dilaksanakan tidak lewat suku tahun ketiga tahun ini iaitu sebelum musim Monsun Timur Laut (MTL).
Mengulas lanjut, kata Nur Aminahtul, pihaknya meneliti senarai defendan dalam tuntutan itu termasuk pemaju utama dan kerajaan negeri.
“Selain itu, penduduk menuntut supaya kolam takungan berkenaan ditutup kerana ia tidak sesuai dibina terlalu hampir dengan kawasan rumah. Kami masih terbuka kepada penyelesaian secara baik termasuk melalui proses mediasi,” jelasnya.
Sementara itu, penduduk, Ir. Mohd Zikri Md. Zaini, 40, berkata dia kerugian mencecah RM170,000 apabila kediamannya rosak teruk akibat banjir berkenaan.
“Setiap kali hujan lebat, saya dan keluarga sehingga kini hidup dalam ketakutan kerana air akan melimpah masuk ke halaman rumah. Kejadian itu antaranya menyebabkan kerosakan pada lantai sehingga mengalami keretakan selain perabot dan dokumen,” ujarnya.
Bagi seorang lagi penduduk, Khairul Nizam Jamil, 43, tindakan undang-undang itu disifatkan usaha terakhir bagi menuntut keadilan selepas berdepan banjir sejak 10 tahun lalu.
“Kami sudah muak dan hidup dalam keadaan trauma setiap hari sehingga tidur juga tidak lena. Tindakan ini bukan untuk menuding jari namun kami mahu keadilan dan mempunyai hak menikmati kehidupan selesa,” katanya. – UTUSAN