GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli Pos Balar di sini lega apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mempercepatkan pembinaan semula jambatan yang runtuh selepas dihanyutkan arus deras pada 9 Mac lalu.
Penghulu Pos Balar, Osman Anjang berkata, pembinaan itu bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah membolehkan murid-murid kembali semula ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran.
“Sejak jambatan runtuh, urusan harian kami terganggu termasuk menghantar anak-anak bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar.
“Bila dapat tahu Jakoa akan segerakan pembinaan ini, kami sangat bersyukur. Terima kasih kepada kerajaan dan Jakoa yang prihatin dengan kesulitan dialami oleh kami penduduk di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Jakoa akan mempercepat pembinaan jambatan di Pos Balar bernilai RM400,000 dalam masa terdekat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata, faktor lokasi dan bentuk muka bumi serta cuaca akan diambil kira dalam proses pembinaan kemudahan itu nanti.
Kepayahan anak Orang Asli di Pos Balar menuntut ilmu terserlah apabila jambatan yang menjadi nadi utama runtuh selepas dihanyutkan arus deras akibat kejadian kepala air.
Jambatan utama menghubungkan kampung mereka runtuh, lantas menjadikan laluan ke sekolah bukan sekadar sukar, malah amat berbahaya.
Perjalanan dari rumah ke sekolah memakan masa antara 15 hingga 40 minit.
Tambah Osman, apabila jambatan itu siap nanti, beliau berharap penduduk dapat memanfaatkannya sebaik mungkin. kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. – UTUSAN