KANGAR: Semua pemimpin kerajaan yang kalah dalam pemilihan Pas di peringkat kawasan baru-baru ini diingatkan agar tidak menjauhkan diri daripada jemaah sebaliknya teruskan perjuangan parti.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, mereka perlu terus bersatu padu kembali serta jangan ada sebarang perasaan dengki kepada pemimpin yang diamanahkan serta melupakan kekalahan tersebut.
Katanya, bagi mereka yang terpilih pula perlu sentiasa ingat bahawa kemenangan tersebut adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh perwakilan supaya memainkan peranan membantu jemaah dan parti.
“Kita kena ingat, selepas pemilihan, tugas utama adalah menyatupadukan semula dan jika ada sebarang keretakan pula, kembalilah semula bersama jemaah ini. Musuh sebenar bukan lawan kita dalam pemilihan tersebut dan mereka adalah sahabat-sahabat kita.
“Itu perkara yang perlu diberikan perhatian. Saya amat berharap matlamat kita bukan dengan kemenangan itu untuk mendapat nama, kedudukan lebih besar sebaliknya memegang amanah yang diberikan ini.
“Bagi mereka yang kalah pula, jangan anggap rugi kerana itu bukan matlamat berjuang. Walaupun kalah, tidak dapat sokongan, jangan pisahkan diri daripada jemaah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemilihan Pas kawasan Arau minggu lalu menyaksikan kejutan besar apabila Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli tewas jawatan Yang Dipertua.
Selain itu, hampir keseluruhan pimpinan kerajaan negeri seperti Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Exco juga tewas dalam persaingan jawatan di kawasan masing-masing.
Hashim berkata, parti yang seharusnya menguasai dan memandu perjalanan pentadbiran kerajaan negeri seperti diputuskan muktamar Pas tahun lalu.
Katanya, ia bermaksud bukan sahaja parti yang menentu hala tuju kerajaan negeri, sebaliknya juga pelantikan sesuatu jawatan di dalam kerajaan perlu melalui parti.-UTUSAN










