Pemilik 'dashcam' tampil bantu siasatan nahas pelajar UPSI - Utusan Malaysia

Pemilik ‘dashcam’ tampil bantu siasatan nahas pelajar UPSI

NOOR Hisam Nordin ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam detik-detik kemalangan dipercayai melibatkan bas dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik sudah tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, rakaman dashcam berkenaan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dianalisis.

“Setakat ini, hanya seorang pemilik dashcam tampil secara sukarela dan rakaman itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat yang bertanggungjawab.

“Kenyataan daripada individu berkenaan juga akan diambil dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.

Menurut beliau, rakaman tersebut dijangka membantu pihak berkuasa mengenal pasti keadaan sebenar jalan raya, pergerakan bas serta situasi lalu lintas di sekitar lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan termasuk keadaan jalan yang gelap, tiada garisan penanda, selain laluan menurun serta curam.

“Saya sendiri telah meninjau lokasi kejadian dan mendapati keadaan jalan amat gelap dan tiada sebarang garisan penanda. Ia sememangnya berisiko tinggi kepada kenderaan berat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bas yang membawa pelajar UPSI itu dari arah Jerteh, Terengganu menuju ke Perak itu dilaporkan terbabas, terbalik dan bergesel dengan bahu jalan.

“Mujur bas tidak terjunam ke dalam gaung berhampiran. Kebanyakan mangsa yang maut dipercayai duduk di bahagian kiri bas dan ditemukan di dalam longkang bersebelahan lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 13 jenazah telah selesai dibedah siasat dan akan dihantar pulang ke Terengganu secara serentak.

Menurut beliau, proses pelepasan jenazah dijangka dilakukan secara berkonvoi melalui laluan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Kuala Kangsar, Gerik, Jeli dan seterusnya ke sempadan Kelantan–Terengganu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN