SEREMBAN: Seorang pembantu kedai didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai individu lain dan menipu berkaitan sewaan premis kedai pada 2017.
Tertuduh, Chong Chee Wai, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menipu bagi mendapatkan premis sewaan kedai dengan cara menyamar iaitu menyatakan dirinya adalah individu yang bertanggungjawab menyewa sebuah premis kedai.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Tuanku Munawir di sini pada 21 Disember 2017.
Sehubungan itu, dia telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang diwakili peguam Joseph Mathew memohon jaminan yang paling rendah memandangkan anak guamnya menghidap sakit jantung dan perlu menanggung keluarga.
Joseph berkata, tertuduh juga menjaga ibunya yang telah uzur dan dua orang anak yang masih kecil
Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur’Aqilah Syarfa Nik Zaidi sebelum itu memohon jaminan yang setimpal terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Julai depan. – UTUSAN