TAIPING: Seorang pemandu treler yang menyebabkan kematian empat sekeluarga dalam satu kemalangan di Sungai Siput lima tahun lalu, terpaksa meringkuk lebih lama atas kesalahannya itu.
Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini meminda hukuman penjara empat tahun yang dikenakan sebelum ini terhadap tertuduh, Y. Vethri Vel, 31, kepada lapan tahun.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin turut menaikkan denda RM20,000 kepada RM80,000 bagi empat pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 10.20 malam, 13 Februari 2020 itu, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhari, 28, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dan isteri, Nik Iedayu Nik Hassan, 30, serta anak bongsu mereka, Muhammad Faqih Irsyad berusia 16 bulan maut di lokasi kejadian.
Kemalangan itu turut mengorbankan adik ipar Mohamad Faiz, Nik Ifeka, 27, manakala anak sulung pasangan itu, Muhammad Fariz Iskandar berusia tiga ada tahun parah.
Terdahulu, hakim tersebut meminda pertuduhan yang dihadapi Vethri Vel daripada Seksyen 44(1) APJ 1987 kepada Seksyen 41(1) akta sama setelah mendapati pihak pembelaan berjaya mewujudkan keraguan munasabah berkaitan sampel darah tertuduh.
Bapa kepada dua anak itu sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 44(1) APJ 1987 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian.
Mahkamah Majistret telah mendapati tertuduh bersalah dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta denda sebanyak RM20,000.
Atas tuduhan pindaan, Vethri Vel didakwa telah memandu kenderaan secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kepada Mohamad Faiz, Nik Iedayu, Muhammad Faqih Irsyad dan Nik Ifeka Nik Hassan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Kilometer 37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dalam daerah Sungai Siput pada pukul 10.20 malam, 13 Februari 2020.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffi Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Faazil Rahman.
Terdahulu dalam rayuannya, pihak pembelaan memohon agar mahkamah memberikan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik mengambil kira tertuduh turut mengalami kecederaan tisu lembut semasa kemalangan selain mempunyai tanggungan.
Bagaimanapun, Mohd. Waffy memohon hukuman setimpal berdasarkan fakta, tindakan tertuduh yang memandu secara berbahaya telah menyebabkan kematian empat sekeluarga.
“Hukuman seharusnya bersifat deterrent (penghalang) agar pemandu-pemandu kenderaan berat lain lebih berhati-hati terhadap nyawa pengguna lain, apatah lagi ketika negara dikejutkan dengan kemalangan melibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.
Selepas meminda hukuman dan menaikkan jumlah denda, Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula dari 13 Jun 2025.
Vethri Vel juga turut berdepan hukuman penjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh juga hilang kelayakan memiliki lesen memandu selama tiga tahun dan butir-butir sabitan itu diendors pada lesen memandunya. – UTUSAN