BALIK PULAU: Seorang lelaki maut selepas kereta jenis BMW yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah motosikal di Bukit Ayun, Bayan Lepas di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.07 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak beberapa meter dari lokasi perlanggaran.
Sementara itu, penunggang motosikal jenis Yamaha berusia 24 tahun pula dilaporkan mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan sepasukan anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru ke lokasi.
”Operasi menyelamat yang melibatkan dua mangsa iaitu pemandu kereta dan penunggang motosikal itu diketuai oleh Komander Operasi, Mohamad Hirman Mat Rodzi
”Penunggang motosikal mengalami kecederaan serius manakala pemandu kereta disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Shoki lagi, operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 4.38 pagi. – UTUSAN