SHAH ALAM: Pelepasan 1,300 ikan keli Afrika ke tasik Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang bagi satu pertandingan memancing dilakukan tanpa khidmat nasihat Jabatan Perikanan (DOF) Selangor.
Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, DOF telah mengadakan lawatan tapak dan sesi libat pada Jumaat lalu susulan aduan pelepasan spesies ikan asing tersebut.
Jelas beliau, ikan keli Afrika atau nama saintifiknya Clarias Gariepinus itu dilepaskan ke dalam tasik itu sempena pertandingan memancing anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) program Showtech 2025, Khamis lalu.
“Siasatan mendapati sebanyak 2,000 kilogram (kg) ikan dianggarkan sekitar 1,300 dengan berat purata 1.5kg seekor telah dilepaskan ke dalam tasik berkenaan oleh penganjur.
“Tiada sebarang pemakluman atau permohonan mendapatkan khidmat nasihat mengenai pelepasan itu daripada Pejabat Perikanan Selangor,” katanya.
Terdahulu, tindakan pelepasan ikan larangan itu tular di media sosial dan mendapat kecaman berikutan tasik itu mempunyai beberapa saliran air keluar ke Wetland (Putrajaya) dan Sungai Langat.
Tasik MAEPS itu juga didakwa mempunyai beberapa spesies ikan tempatan yang masih berkembang biak dengan baik seperti sebarau dan tapah.
Menurut Noraisyah, tasik itu dikenalpasti mempunyai sistem kawalan air yang baik termasuk jaring berdiameter dua inci di outlet dan kawasan sambungan tertutup.
“Justeru, beberapa langkah mitigasi dipersetujui antaranya menerusi pemasangan jaring tambahan dan tong pengumpulan ikan keli yang ditangkap ketika pertandingan selain bahan hebahan kesedaran.
“MARDI pula akan memastikan pematuhan pemasangan jaring, membuka tasik kepada aktiviti memancing kawalan dan menyelaraskan program inventori serta pelupusan ikan asing selepas tamat program,” ujarnya.
Tambah beliau, DOF memandang serius isu pelepasan ikan asing ke perairan umum kerana boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem dan mengancam spesies tempatan selain kesan jangka panjang terhadap sumber perikanan negara.
“Semua pihak termasuk penganjur acara, agensi kerajaan dan swasta diseru mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada Jabatan Perikanan negeri sebelum melaksanakan aktiviti pelepasan ikan ke perairan awam.
“Ini bagi memastikan tindakan itu selaras dengan prinsip kelestarian alam dan tidak mendatangkan risiko kepada ekosistem tempatan,” katanya. – UTUSAN