Pelbagai barang kes bernilai RM1.45 juta dilupuskan - Utusan Malaysia

Pelbagai barang kes bernilai RM1.45 juta dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Pelbagai barang kes termasuk mesin bitcoin, peranti perjudian, rokok dan minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM1.45 juta dilupuskan Polis Subang Jaya hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata, kesemua barang kes itu adalah hasil daripada 525 kertas siasatan jenayah dan 110 kertas siasatan jenayah komersial bagi tempoh 2004 hingga 2024 yang sudah diselesaikan melalui pendakwaan.

Kata beliau, barang kes yang dimusnahkan meliputi barang rampasan dalam Op Dadu, membabitkan 548 set komputer, komputer riba dan telefon bimbit dimusnahkan, dengan nilai rampasan dianggarkan RM582,400.

“Turut dimusnahkan ialah 29,307 keping cakera padat video (VCD/DVD), lima telefon bimbit dan empat komputer riba yang dirampas dalam kes cetak rompak, dengan nilai rampasan RM214,149,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelupusan Barang Kes di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.

Mohd Fairus berkata, bagi kes barangan tanpa cukai seperti minuman keras dan rokok yang dirampas dalam Op Pusat Hiburan serta operasi kontraban, pelupusan membabitkan 650 tin minuman keras, 502 botol arak serta 293 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM362,911.

Sementara itu, katanya bagi Op Elektrik yang berkaitan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram, sebanyak 635 mesin bitcoin dimusnahkan dengan anggaran nilai RM286,200.

“Pemusnahan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207).

“Jumlah keseluruhan pelupusan barang kes dianggarkan kira-kira RM1,445,649 dan dilupuskan melalui kaedah pelupusan e-waste serta jualan sisa besi dan pepejal,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN