PETALING JAYA: Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) menegaskan pelarasan caj konsultasi doktor am (GP) tidak akan membebankan rakyat tetapi bertujuan menjamin kelangsungan ribuan klinik yang telah lama menyerap peningkatan kos sejak lebih 30 tahun lalu.
Dalam kenyataan media hari ini, PERDIM berkata caj konsultasi yang diamalkan kini iaitu antara RM10 hingga RM35 merupakan kadar yang dicadangkan pada 1992.
“Sejak 1992, hampir semua aspek kos operasi telah meningkat termasuk gaji kakitangan, harga ubat-ubatan, pematuhan klinikal, alat perubatan, sewa dan utiliti,” katanya dalam kenyataan.
Persatuan itu menjelaskan klinik GP masih mengekalkan model rawatan bersepadu yang menyatukan konsultasi, ubat dan pemeriksaan asas dalam satu caj berpatutan.
Mengulas lanjut, PERDIM memberikan contoh perbandingan kos rawatan dari 1992 hingga 2024 bagi memudahkan pemahaman rakyat.
Pada 1992, rawatan penuh berharga sekitar RM35 dengan konsultasi RM10 (28 peratus) dan ubat RM25.
Menjelang 2024, di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, rawatan purata mencecah RM80-RM90 dengan konsultasi masih sekitar RM35 dan ubat serta lain-lain RM45-RM55.
“Jika pelarasan dilaksanakan dan lantai caj konsultasi ditetapkan pada RM55, jumlah caj keseluruhan rawatan masih kekal RM80-RM90.
“Perbezaannya hanya konsultasi meningkat RM20 dan kos ubat dikurangkan RM20,” kata PERDIM dalam satu kenyataan media.
PERDIM menegaskan klinik tidak akan menaikkan caj sembarangan kerana terdapat lebih 11,000 klinik GP di seluruh negara, menjadikan pasaran penjagaan primer sangat kompetitif.
“GP tidak beroperasi dalam monopoli. Mereka sangat memahami sensitiviti harga pesakit dan sentiasa berusaha menyesuaikan rawatan mengikut kemampuan individu,” katanya.
Persatuan itu berkata perkhidmatan kesihatan awam masih tersedia pada kadar minimum dan jika harga klinik swasta melambung, pesakit akan beralih ke klinik kerajaan atau klinik swasta lain yang lebih murah.
Mengulas lanjut, PERDIM mendedahkan isu sebenar yang membebankan GP ialah model perkhidmatan panel melalui Third-Party Administrators (TPA) yang menguruskan manfaat kesihatan pekerja di sektor korporat.
Kini, lebih 70 peratus pesakit di klinik GP datang melalui skim panel TPA yang mengenakan potongan sehingga 15 peratus daripada jumlah bil sebagai yuran pentadbiran.
“Harga ubat ditetapkan secara tidak realistik dan berat sebelah, sementara pembayaran tertangguh sehingga berbulan-bulan,” katanya.
Situasi itu menyebabkan GP terpaksa menyubsidi kos kesihatan untuk syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bank, syarikat minyak dan gas serta syarikat multinasional tanpa ruang melindungi kos asas klinik sendiri.
PERDIM dimaklumkan Menteri Kesihatan telah mencadangkan kadar lantai RM55 tanpa siling dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), namun keputusan belum dibuat.
Persatuan itu mencadangkan alternatif terbaik yang adil kepada semua pihak iaitu julat caj konsultasi antara RM50 hingga RM80, semakan semula kadar setiap tiga tahun berdasarkan realiti ekonomi dan fleksibiliti dalam amalan tetapi dengan perlindungan minimum.
PERDIM menyatakan secara tegas sebarang bentuk deregulasi penuh tanpa lantai minimum akan menjadi bencana kepada sistem penjagaan primer negara.
“Tanpa perlindungan dasar, tekanan untuk menurunkan harga akan memaksa klinik mengurangkan masa konsultasi, skop rawatan atau kualiti ubat.
“Ramai GP mungkin terpaksa gulung tikar. Pesakit mungkin melihat penurunan harga sebagai faedah jangka pendek, tetapi dalam jangka panjang mereka akan kehilangan akses kepada rawatan menyeluruh dan doktor yang dipercayai,” katanya.
Persatuan itu menegaskan klinik GP bukan punca inflasi kesihatan tetapi benteng terakhir yang menghalang inflasi kesihatan daripada membebankan rakyat. – UTUSAN