PETALING JAYA: Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berjaya menyalurkan sebanyak RM1,200 kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) menerusi program larian yang dianjurkan pada 14 Jun lalu.
Ia merupakan inisiatif para pelajar semester lima Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran awam.
Menurut penganjur, program larian tersebut berjaya mendapat seramai 113 peserta daripada pelbagai latar belakang yang menyasarkan untuk memupuk semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan keprihatinan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sebahagian besar hasil kutipan berjumlah RM1,200 disalurkan kepada MAKNA bagi membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan melalui sumbangan seperti kemudahan rawatan, alat bantuan perubatan dan program pendidikan serta saringan kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jurucakap MAKNA berkata, penganjuran program seperti ini amat bertepatan dengan misi organisasi dalam meningkatkan kesedaran kanser dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, dana yang dikutip akan digunakan bagi membantu pesakit kurang berkemampuan dalam mendapatkan rawatan seperti chemoport, prosthesis, ubat bukan formulari, kerusi roda dan lain-lain keperluan kritikal.
“Dalam era media sosial hari ini, platform digital memainkan peranan besar. Justeru, acara ini yang turut memanfaatkan media sosial sebagai saluran promosi adalah satu langkah tepat,” katanya. – UTUSAN