PETALING JAYA: Kumpulan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Trolak berjaya raih Anugerah Emas Golden Diploma Award bagi kategori middle class di Festival Orkestra Tiupan Antarabangsa Prague 2025 di Prague, Republik Czech.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan itu dilihat sebagai simbol semangat dan potensi luar biasa anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia.
Katanya, kerajaan akan sentiasa memberikan sokongan terutama dalam menarik minat dan mengangkat potensi generasi muda.
“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan dalam bidang muzik tetapi juga simbol semangat dan potensi luar biasa anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus menyalurkan sokongan yang berterusan sama ada dari segi motivasi, penyediaan peralatan mahupun dana demi menyuburkan minat dan mengangkat potensi besar anak-anak muda dalam bidang seni dan budaya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada MAWO kerana menjadi penerima markah tertinggi oleh barisan juri profesional antarabangsa.
Katanya, kejayaan itu diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda luar bandar untuk mempunyai cita-cita tinggi.
“Malaysia, satu-satunya wakil dari Asia berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam buah negara Eropah.
“Semoga ia menjadi inspirasi kepada anak-anak muda luar bandar bahawa tiada batas untuk bermimpi, dan tiada sempadan untuk berjaya!
“Syabas keluarga besar MRSM, Felda dan MARESMAF. Anda benar-benar telah “MENDONIA”!,” katanya. – UTUSAN