Pegawai kewangan pula rugi RM4.17 juta akibat pelaburan palsu

Pegawai kewangan pula rugi RM4.17 juta akibat pelaburan palsu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai pegawai kewangan di sebuah syarikat perkhidmatan perundingan kerugian sebanyak RM4.17 juta selepas terpedaya dengan satu pelaburan palsu yang diiklankan di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa yang berusia 60 tahun pada mulanya telah menghubungi seorang wanita lain iaitu suspek melalui aplikasi WhatsApp selepas tertarik dengan iklan pelaburan saham yang menggunakan nama ‘KKR Investment’ itu.

Katanya, selepas dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Kumpulan Analisis Kewangan Saham Malaysia’, mangsa kemudian diminta untuk memuat turun aplikasi ‘KKR INV’.

“Pada masa yang sama, mangsa juga perlu mendaftarkan diri untuk menyertai pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hamzah berkata, dari 10 Mac hingga 13 Jun 2025, mangsa mendakwa telah membuat sebanyak 76 transaksi pemindahan wang ke dalam lapan akaun bank berbeza milik syarikat yang tidak dikenali sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM4.17 juta.

Jelas beliau, mangsa bagaimanapun mula mengesyaki sesuatu apabila tidak dapat membuat pengeluaran keuntungan seperti yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut, sebaliknya, diminta pula untuk membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya yang mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian khususnya di media sosial tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

Tambah Hamzah, selain portal ‘Semak dan Labur’, semakan juga boleh dibuat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan entiti terbabit diberi kebenaran untuk menawarkan produk pelaburan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN