PDRM tunggu keputusan penuh penghakiman Yusoff Rawther - KPN

PDRM tunggu keputusan penuh penghakiman Yusoff Rawther – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu penghakiman penuh perbicaraan membabitkan kes Muhammad Yusoff Rawther untuk melihat sekiranya ada kelompangan dan kelemahan ketika siasatan. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengambil maklum dan mengalu-alukan reaksi dan pandangan yang dikemukakan oleh semua pihak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Yusoff Rawther.

Katanya, setiap laporan polis yang dilaporkan akan disiasat dengan adil dan tanpa prejudis oleh PDRM walaupun melibatkan suspek berprofil tinggi termasuk dalam kes Yusoff Rawther.

“Manakala keputusan untuk pertuduhan dilaksanakan selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara.

“PDRM masih menunggu dan akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan tersebut untuk melihat jika ada kelompangan dan kelemahan ketika siasatan dijalankan. 

“Kita bersedia menambah baik melalui penilaian dalaman dan semakan semula prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Berhubung laporan polis yang dibuat oleh Yusoff Rawther pada 12 September 2024, menurutnya, laporan tersebut disiasat selari dengan dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan penemuan dadah dan pistol.

Jelasnya, tiada keperluan untuk mengambil kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes tersebut memandangkan tindakan tersebut telah diambil ketika aduan dibuat oleh Yusuf Rawther di peringkat awal.

“Pada peringkat tersebut, PDRM telah mengemukakan ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan cadangan pertuduhan untuk kedua-dua kes tersebut. 

“PDRM berpuas hati bahawa setakat keterangan yang ada pada masa tersebut, adalah mencukupi untuk menuduh Yusuf Rawther tanpa memanggil mana-mana pihak lain untuk melengkapkan siasatan,” katanya. 

Beliau berkata, sepertimana juga kes-kes lain yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini, pihaknya sentiasa cakna dengan keputusan-keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada PDRM. 

“Kita sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan kualiti siasatan dan mengoptimumkan pendakwaan,” katanya. 

Terdahulu,  Yusoff Rawther memberi kata dua kepada pihak polis untuk memaklumkan perkembangan laporan yang dibuat bekas pembantu penyelidik Anwar  itu, atau berdepan tindakan undang-undang.

Berdasarkan surat yang dihantar oleh Law Practice of Rafique, Yusoff, 32, memberi masa tujuh hari kepada Razarudin untuk menjawab perkembangan laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 12 September tahun lalu.

Jika tiada jawapan atau ia tidak memenuhi isu-isu yang dibangkitkan, pihaknya akan mengheret perkara itu ke muka pengadilan.

Menurut surat itu, laporan polis berkenaan menyentuh mengenai penafian Yusoff, yang dituduh atas dua kes mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN