KLANG: Pasangan suami isteri yang masih belum ditemukan dalam kejadian bot terbalik di perairan Tanjung Harapan dipercayai hanyut ketika bot mereka ditarik keluar dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Haikal Jammy Ngali berkata, siasatan awal mendapati bot dinaiki lima mangsa itu telah ditarik oleh bot awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Katanya, kejadian bot terbalik dipercayai berlaku sekitar pukul 4 petang semalam, manakala bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5 petang.
“Pasukan penyelam telah melakukan aktiviti selaman dan berjaya mengapungkan bot terbabit namun dua mangsa masih belum ditemui di dalamnya.
“Kami percaya kedua-dua mangsa hanyut dibawa arus ketika bot itu sedang ditunda keluar dari kedudukan asal, iaitu kira-kira 0.3 batu nautika ke barat Tanjung Harapan,” katanya ketika sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat, Pejabat Maritim Selangor, di sini hari ini.
Haikal berkata, kemungkinan kedua-dua mangsa tercampak semasa bot terbalik adalah rendah kerana dua mangsa lain ditemui dalam ruang hadapan bot berkenaan.
“Kita telah mengenal pasti lokasi sebenar bot terbalik dan usaha pencarian akan dipergiat di kawasan itu melalui pencarian permukaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pasangan suami isteri berkenaan masih belum dijumpai meskipun operasi merangkumi kawasan seluas lima batu nautika.
“Kebiasaannya, jika mangsa sudah tenggelam, jasad akan timbul selepas 24 jam. Kami berharap mereka dapat ditemui dalam masa terdekat,” ujarnya.
Menurut beliau, tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak telah diserahkan kepada waris selepas proses bedah siasat dijalankan di Hospital Shah Alam.
“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan sehingga pukul 7 malam ini dan bot yang terlibat telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin untuk siasatan lanjut aspek teknikal,” katanya.
Dalam perkembangan lain, tinjauan di lokasi mendapati ahli keluarga kedua-dua mangsa, Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, telah mengadakan upacara keagamaan bagi mendoakan keselamatan mereka.-UTUSAN