Pas tunggang isu demi kepentingan politik

Pas tunggang isu demi kepentingan politik

WOO KAH LEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Pemuda Pas menukar tema himpunan daripada membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) kepada ‘Turun Anwar’ sebagai bukti parti itu menunggang isu demi kepentingan politik.

Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH), Woo Kah Leong berkata, perkara itu menunjukkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai hala tuju dasar kukuh kerana menjadikan perhimpunan pentas politik untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menenggelamkan pengaruh sekutu mereka sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pas sebelum ini lantang membantah URA walaupun akta itu belum dibentangkan di Parlimen. Tiba-tiba tema himpunan berubah kepada ‘Turun Anwar’. 

“Ini membuktikan mereka hanya berminat mencipta musuh politik baharu dan mengalih perhatian penyokong sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan tersebut juga dilihat sebagai usaha Pas menunjukkan dominasi dalam PN memandangkan parti itu kini menguasai semua jawatan Menteri Besar di negeri-negeri pentadbiran mereka dan memiliki jumlah kerusi Parlimen tertinggi dalam gabungan tersebut.

“Himpunan ini bukan perjuangan rakyat, sebaliknya percaturan dalaman Pas untuk menyekat pengaruh Bersatu,” katanya.

Kah Leong turut menyifatkan PN sebagai gabungan yang berpecah-belah dan belum menunjukkan keupayaan mentadbir sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

“Hentikan sandiwara politik. Selesaikan dahulu masalah dalaman sebelum melaungkan ‘Turun Anwar’,” katanya.

Kah Leong turut mempersoalkan keikhlasan Pemuda Pas memperjuangkan rakyat kerana sehingga kini PN masih belum mengumumkan calon Perdana Menteri dalam kalangan mereka.

“Adakah PN sepakat untuk memilih Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri? PN sendiri masih samar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN