Pas masih perlukan khidmat Abdul Hadi

Pas masih perlukan khidmat Abdul Hadi

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kelantan dan Perasmian PCS di Pantai Baru, Melawi, Bachok, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Pas masih memerlukan khidmat Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerajui parti itu bagi mengharungi arena politik negara yang semakin mencabar.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil bagaimanapun berkata, semua itu bergantung kepada ahli Pas untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

“Saya mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri urusan pemilihan parti politik lain selari dengan arahan diterima daripada pucuk pimpinan Amanah.

“Namun, secara peribadi saya berasakan khidmat Tok Guru (Abdul Hadi) masih diperlukan di sebalik keuzuran Ahli Parlimen Marang itu yang dipersoal oleh pelbagai pihak. Saya amat hormat kerana beliau merupakan rakan baik arwah ayah saya yang juga bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor,” katanya  selepas Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Bersama Nelayan Kelantan dan Perasmian Porrtable Container System (PCS) di Pantai Baru, Melawi, di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata, secara peribadi mahu mengekalkan hubungan baik dengan Abdul Hadi di sebalik perbezaan fahaman politik dan mendoakan kesihatan pemimpin tertinggi Pas itu. 

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, lembaga itu akan menggunakan aplikasi digital melalui telefon pintar untuk mengagihkan subsidi minyak kepada hampir 40,000 nelayan di seluruh negara tidak lama lagi.

Katanya, ia bagi menggantikan penggunaan peranti pembantu digital peribadi (PDA) sekali gus menyahut seruan kerajaan yang menekankan kepentingan peralihan ke arah pendigitalan.

Menurutnya, PDA merupakan peranti bagi mengesahkan kelayakan seseorang mendapat subsidi dan jumlah minyak sepatutnya diterima.

“Dalam masa terdekat kita akan dapat melaksanakan kaedah penyaluran subsidi minyak secara digital, iaitu menggunakan aplikasi dalam telefon pintar masing-masing dan tidak lagi menggunakan kaedah PDA. Kadangkala bila guna PDA kita berdepan masalah kerana ia adalah peranti lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN