Pas desak Malaysia guna peranan Pengerusi ASEAN kutuk serangan Israel

Pas desak Malaysia guna peranan Pengerusi ASEAN kutuk serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas menggesa kerajaan Malaysia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN bagi mengambil pendirian lebih tegas terhadap tindakan agresif rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan ke atas Iran baru-baru ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perlu segera menyatakan pendirian rasmi dan tegas terhadap isu berkenaan serta menggunakan sepenuhnya kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Malaysia harus menggembleng dan memimpin suara bersama negara anggota ASEAN bagi meredakan ketegangan, selain memainkan peranan lebih berkesan di peringkat antarabangsa.

“Ini termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Komanwel dalam usaha mencari penyelesaian damai terhadap konflik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, serangan Tel Aviv ke atas Iran bukan sahaja memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah, malah membuktikan hasrat sebenar Israel yang mahu menggagalkan sebarang usaha penyelesaian diplomatik di rantau bergolak itu.

Katanya, berdasarkan siri tindakan Israel sejak 7 Oktober 2023, jelas menunjukkan bahawa rejim itu berniat menghapuskan semua pihak yang dianggap sebagai pesaing.

“Iran kini menjadi sasaran utama rejim Zionis selepas pesaing lain dilumpuhkan sebelum ini, termasuk melalui siri operasi pembunuhan terhadap tokoh-tokoh penting sama ada dari kalangan tentera atau orang awam yang dilihat sebagai ancaman kepada Israel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Pas percaya semua pihak yang cintakan keamanan wajar mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaru Israel yang dianggap ganas serta jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan konsensus global.

“Tindakan Israel ini hanya akan menyeret dunia ke arah konflik yang lebih besar dan meluas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN