PETALING JAYA: Pandangan dikeluarkan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad berhubung pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berlawanan dengan dasar, ketetapan dan wawasan parti.
Pada masa sama, Pas memberi amaran bahawa parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana ahlinya melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif sehingga mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kenyataan dikeluarkan seorang pemimpinnya di peringkat Pas Kawasan dan memandang serius kontroversi tersebut.
Katanya, catatan dimuatnaik itu atau mana-mana catatan lain seumpamanya adalah pandangan individu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Pas, ketetapan Muktamar Agung Tahunan, mesyuarat parti dan kenyataan rasmi parti.
“Sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk dan warnanya tidak ada tempat dalam Pas, selain tidak cocok dengan budaya besar dan cita-cita kebangsaan negara ini.
“Pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.
“Kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya. Tahniah daripada Pas buat Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kelmarin, ATM mengumumkan pelantikan Johnny Lim yang disifatkan sebagai melakar sejarah kerana beliau merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi itu.
Ekoran itu, Zaharuddin membuat hantaran di media sosial kelmarin yang seolah-olah mempertikai pelantikan tersebut dengan mengaitkan tidak mustahil pada masa akan datang Malaysia akan menerima Perdana Menteri berbangsa Cina yang pertama.
Takiyuddin berkata, Pas akan terus memberi peringatan kepada pimpinan dan ahlinya supaya kekal cermat dan berhati-hati dalam sebarang tindakan kerana ketegasan parti dalam soal adab, Susila mahu pun disiplin seperti termaktub dalam Perlembagaannya adalah tiada toleransi.
“Oleh itu, katanya, setiap ahli Pas sentiasa ingat bahawa salah satu syarat untuk menjadi ahli parti adalah mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan Pas, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa, inilah yang selalu disebut sebagai wala’ dan taat kepada parti.
“Justeru Pas tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat. – UTUSAN