Pangkalan data peluang tapis pemandu bermasalah

Pangkalan data peluang tapis pemandu bermasalah

Pangkalan data pemandu bas ekspres dan persiaran yang akan dibangunkan kerajaan membolehkan pengendali syarikat bas menyaring pemandu dengan lebih teliti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pangkalan data pemandu bas ekspres dan persiaran yang akan dibangunkan kerajaan memboleh­kan pengendali syarikat bas dapat menyaring pemandu dengan lebih teliti sekali gus mengurangkan risiko melantik pemandu bermasalah.

Pensyarah Fakulti Kejurute­raan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, pangkalan data itu juga mampu meningkatkan ke­telusan dan akauntabiliti terhadap tingkah laku pemandu bas di jalan raya.

“Selain itu, ia juga dapat mencegah kemalangan atas faktor sikap pemandu. Dengan data yang boleh diakses dan dikemaskini, pihak berkuasa boleh mengenal pasti corak atau trend negatif lalu mengambil tindakan pencegahan awal seperti latihan tambahan atau penggantungan lesen.

“Pada masa sama, pangkalan data ini akan menjadikan pe­ngurusan sumber manusia yang lebih baik. Dengan ini, syarikat boleh membuat keputusan pengambilan berdasarkan merit serta rekod prestasi sebenar dan bukan hanya melalui temu duga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Kementerian Pe­ngangkutan memaklumkan pang­­kalan data pemandu bas ekspres dan persiaran, lengkap dengan rekod lampau dan buruk mereka akan dibangunkan bagi tujuan penambahbaikan keselamatan pengangkutan awam darat.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem itu akan dibangunkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang membolehkan syarikat bas menilai kelayakan serta latar belakang pemandu sebelum mereka diambil bekerja.

Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, pangkalan data itu juga boleh menjadi pemangkin kepada pemandu bas bersikap bertanggungjawab atau platform untuk memperbaiki kesilapan.

“Pemandu menyedari bahawa rekod mereka sentiasa dinilai. Oleh itu pangkalan data ini juga perlu mewujudkan insentif untuk rekod baik. Contohnya bonus, atau peluang kenaikan pangkat bagi pemandu berprestasi cemerlang.

“Bagi prestasi kurang cemerlang, proses pembetulan atau pemulihan perlu disediakan agar pemandu yang me­lakukan kesalahan kecil boleh diberi peluang untuk memperbaiki diri.

“Namun, keberkesanan sistem ini juga bergantung kepada pelaksanaan adil dan tidak berat sebelah serta ketersediaan latihan dan sokongan berterusan kepada pemandu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN