PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah memandang ringan setiap aduan rakyat termasuk video yang tular di media sosial melibatkan kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh kenderaan berat dan bas ekspres.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan segera akan diambil oleh pihaknya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain terpelihara.
“Sekiranya lihat ada lori atau bas yang dipandu laju di atas jalan raya, ambil gambar menggunakan telefon pintar.
“Seperti yang berlaku beberapa hari yang lalu, ada satu video tular melibatkan sebuah syarikat bas ekspres yang dipandu dengan laju dan selepas ia memotong kenderaan lain, pemandu itu tunjukkan isyarat lucah kepada orang yang mengambil video tersebut.
“Jangan ingat video yang ditularkan itu tidak berkesan, ada orang kata (mereka) sudah buat aduan kepada JPJ, tak diambil tindakan, saya tengok video itu sahaja terus saya WhatsApp kepada Ketua Pengarah JPJ dan Ketua Pengarah APAD untuk ambil tindakan dan APAD terus menggantung syarikat tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada tindakan APAD menggantung Lesen Pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam milik Star Mart Ekspress Sdn Bhd selama 30 hari bermula 3 Julai ini susulan video tular pemanduan berbahaya pemandu bas ekspres syarikat itu pada 12 Jun lepas.
Sebelum itu, tular di media sosial mengenai pemanduan seorang pemandu bas ekspres yang dikatakan memandu secara berbahaya dan laju di lorong sebelah kanan sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Justeru, Loke menggalakkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya untuk menyalurkan maklumat berkaitan sekiranya berdepan dengan situasi pemanduan secara berbahaya atau melanggar undang-undang bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.
“Itu yang saya hendak galakkan orang ramai untuk terus tularkan mana-mana insiden yang memandu secara bahaya, kalau tak mahu adu kepada JPJ pun tidak mengapa, tularkan sudah cukup, kita akan tengok.
“Sudah tentu apabila video itu tular ia akan sampai kepada kita, kita akan mengambil tindakan berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang sahih, tapi nasihat saya apabila ambil video itu kena lah ambil nombor pendaftaran kenderaan sekali,” ujarnya. – UTUSAN