Orang Asli bukan Islam wakaf tanah bina surau 

Orang Asli bukan Islam wakaf tanah bina surau 

DR. MOHD Na’im Mokhtar beramah mesra dengan Kiah Atong yang mewakafkan tanahnya bagi pembinaan Surau Al-Munawwarah di Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya, Jasin, Melaka. UTUSAN /AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang warga emas Orang Asli dari suku Temuan mewakafkan sebidang tanah miliknya di Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya di sini, bagi pembinaan sebuah surau walaupun dirinya bukan beragama Islam.

Kiah Atong, 64, berkata, tanah pusaka berkeluasan kira-kira 4,000 kaki persegi itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas mengetahui sukar mencari lokasi sesuai untuk mendirikan surau bagi kegunaan penduduk Islam di kampung tersebut.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas memikirkan manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat terutama lima keluarga beragama Islam yang tinggal di kampung tersebut.

“JAIM ada usaha cari tanah tetapi ramai yang tidak izinkan, jadi saya pun beri tanah saya, bukan rugi pun, anak-anak saya pun kata terserah kepada saya.

“Saya cuma minta mereka bantu bina rumah baru sebab rumah lama sudah tidak muat untuk keluarga kami,” katanya.

Dia ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di Surau Al-Munawwarah Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya, Jasin, di sini, hari ini.

Tambah Kiah, beliau mempunyai lima orang anak dan hanya anak sulungnya yang berusia 50 tahun memeluk Islam, manakala enam daripada sembilan cucunya juga beragama Islam.

Katanya, walaupun hanya sebilangan kecil penduduk kampung itu beragama Islam, namun dia gembira apabila melihat suasana lebih meriah sejak Surau Al-Munawwarah mula beroperasi pada Februari lalu.

“Saya tengok kampung lain semua ada surau, cuma sini sahaja yang belum ada. Apabila sudah siap, ramai orang datang, terutama masa Ramadan hari tu, meriah suasana,” ujarnya.

Surau Al-Munawwarah yang menelan kos pembinaan RM260,000 dibina sepenuhnya di atas tanah milik Kiah yang dahulunya merupakan tanah kebun getah peninggalan datuk dan neneknya.

Difahamkan, pembinaan surau berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan asas dan menjadi pusat aktiviti penduduk Islam kampung tersebut yang kini sebanyak lima buah keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN