Operasi naikkan bot terbalik giat dilaksanakan

Operasi naikkan bot terbalik giat dilaksanakan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor sedang membawa naik bangkai bot laju yang terbalik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Operasi menaikkan terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang dekat sini giat dilakukan di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.

Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksais Maritim Selangor, Leftenan Maritim Mohd Syafiq Sazali berkata, usaha menaikkan keseluruhan struktur bot kini berada di fasa kedua melibatkan bahagian hadapan yang lebih mencabar.

“Buat masa ini, kami telah berjaya menaikkan bahagian belakang bot menggunakan peralatan kren.

“Kami sedang menunggu penyelam untuk memasang tali di bahagian bawah haluan sebelum sambungan dilakukan ke permukaan kren bagi menarik bahagian depan pula,” katanya di lokasi pencarian di Tanjung Harapan dekat sini hari ini.

Kata beliau, proses tersebut rumit memandangkan pemasangan tali di bawah bot memerlukan kepakaran penyelam serta mengambil kira keadaan arus dan jarak penglihatan di dasar laut.

“Keadaan paras air yang sedang pasang sedikit sebanyak membantu operasi kerana bot masih mempunyai daya apungan.

“Ini memudahkan pemasangan tali berbanding waktu air surut di mana bot akan lebih melekat pada dasar,” jelasnya.

Beliau menambah, selepas bot berjaya dinaikkan sepenuhnya, pihaknya akan mengepam keluar air dan menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas ruang dalaman bot untuk memastikan tiada mangsa lain yang terlibat dalam kejadian ini.

“Kerja-kerja pencarian di permukaan air juga masih dijalankan dengan bantuan lebih empat aset dari agensi terlibat serta beberapa bot milik Royal Selangor Yatch Club.

Terdahulu, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut manakala sepasang suami isteri masih hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.

Anak mereka, Darren Gan, 3, ditemukan maut dalam ruang hadapan bot bersama dua lagi mangsa iaitu Cheu Son Hin, 50, dan Fong Yong Sen, 29, yang merupakan rakan kepada pasangan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN