MUKADIMAH
WALAUPUN pekeliling pengharaman bot pukat tunda di Zon B sepatutnya dikuatkuasakan sejak 2016, pelaksanaannya terus tertangguh sehingga kini.
Penangguhan itu membuktikan kurangnya kesungguhan pihak berwajib dalam melindungi hak dan keselamatan nelayan pantai. Malah, undang-undang seperti Akta Perikanan 1985 yang membolehkan rampasan lesen dan bot juga dikatakan tidak dikuatkuasakan secara konsisten.

PUTRAJAYA: Kira-kira 102,746 nelayan pantai yang memiliki 48,440 sampan dan bot kecil berdepan risiko ancaman nyawa setiap hari, berikutan kes pencerobohan bot pukat tunda terus berlaku tanpa ada tindakan penyelesaian konkrit.
Kejadian di Selangor bulan lalu menjadi bukti terbaharu apabila sampan nelayan dirempuh bot pukat tunda ketika menangkap ikan kira-kira 0.3 batu nautika di utara Pulau Klang menyebabkan seorang daripada mangsa maut manakala dua lagi terselamat.
Mengikut peraturan, bot pukat tunda tidak boleh memasuki Zon A (kawasan kurang lima batu nautika dari pesisir pantai) termasuk bot nelayan dari negeri lain juga tidak boleh menceroboh sempadan negeri masing-masing.
Hal ini boleh mengakibatkan kepupusan ikan-ikan kecil dan merosakkan sumber dasar laut, sekali gus memusnahkan ekosistem dan kehidupan marin, malah mengancam nyawa dan kehidupan nelayan pantai.
Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan, hasil tangkapan laut nelayan pantai semakin berkurangan iaitu sebanyak 1.10 juta tan metrik dengan nilai RM10.271 juta pada 2023 berbanding 1.15 juta tan metrik dengan nilai RM10.274 juta pada 2022.
Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri, kerajaan sepatutnya mengharamkan bot pukat tunda daripada memasuki kawasan yang digazetkan di Zon B supaya ia tidak terlajak ke perairan Zon A yang hanya dikhususkan kepada nelayan pantai.
Pekeliling untuk menghapuskan bot pukat tunda di Zon B sepatutnya dikuatkuasakan pada 2016, namun ditangguhkan sehingga hari ini tanpa satu dasar yang jelas.
“Pelaksanaan pekeliling ini kemudian ditangguhkan lagi pada 2020 dan seterusnya dicadang untuk dilaksanakan pada 2024.
“Namun, masih tetap tidak dilaksanakan dan ditangguhkan pula sehingga 2030. Ia sepatutnya tidak boleh lagi ditangguhkan dan perlu dilaksanakan segera kerana meletakkan risiko nyawa nelayan terus dalam bahaya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau yang juga nelayan Teluk Bahang, Pulau Pinang berkata, kerajaan perlu berlaku adil kepada golongan nelayan pantai memandangkan mereka bergantung kepada hasil laut di kawasan Zon A kerana keadaan bot kecil tidak mampu bergerak jauh.
Sedangkan, bot pukat tunda sewenang-wenangnya boleh menceroboh zon nelayan pantai dan mengaut hasil laut sehingga menjejaskan pendapatan mereka.
“Kita bukan nak tutup periuk nasi sesiapa, tetapi kegiatan pencerobohan ini semakin berleluasa seolah-olah tidak ada penguatkuasaan dilakukan atau pihak berkuasa hanya menutup mata bagi kesalahan yang dilakukan.
“Di kawasan Teluk Bahang kerap kali bot pukat tunda dari Kedah ceroboh perairan Pulau Pinang. Di kawasan Pelabuhan Klang tempat pelabuhan perkapalan pun mereka berani beroperasi. Sampai bila keadaan ini akan terus dibiarkan,” katanya.
Pada masa sama, pihak berkuasa terutama Jabatan Perikanan perlu melakukan siasatan atas setiap aduan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan mengambil tindakan mengikut undang-undang ditetapkan.
Ujarnya, sekalipun ada tangkapan dibuat, ada antara bot pukat tunda kembali beroperasi walaupun tidak cukup tempoh sitaan.
Mengikut Akta Perikanan 1985, jika bot yang menceroboh zon didapati bersalah melebihi tiga kali kesalahan, bot dan lesen mereka akan dirampas.
“Tetapi ia hanya sekadar undang-undang yang tidak pernah dilaksanakan. Kalau ikut pekeliling, bot yang menceroboh zon untuk pertama kali dan kedua tidak boleh dipindah milik tetapi bot-bot tersebut masih boleh dipindah milik dan semua kesalahan lampau dihapuskan.
“Bot-bot pukat tunda yang ceroboh zon patut disita, pemilik lesen disenarai hitam tidak dibenarkan membeli bot baharu. Pihak kami telah membawa isu ini kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” katanya.
ANCAM KESELAMATAN, REZEKI NELAYAN PANTAI
Tinjauan Mingguan Malaysia di Sabak Bernam, Selangor mendapati, kegiatan bot pukat tunda yang menceroboh zon penangkapan ikan menyebabkan sampan nelayan berisiko dilanggar, malah hasil tangkapan mereka tidak menentu.
Keadaan itu timbul apabila bot pukat tunda yang kebiasaannya dikendalikan warga asing memasuki Zon A yang berada kurang lima batu nautika dari perairan pantai seperti di Pantai Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan.
Ketiadaan tindakan sita menyebabkan mereka semakin berani menceroboh dan turut menyebabkan kerosakan ekosistem laut.
Ahli Jawatankuasa Jaring, Norhakim Mohamad Yasin berkata, peraturan menetapkan bot Kelas B dan B1 hanya dibenarkan menangkap ikan di kawasan antara lima hingga 15 batu nautika.
Katanya, masih ada pihak di Zon B enggan mematuhinya dengan melakukan pencerobohan sama ada pada waktu petang atau malam.
“Keadaan itu jelas membahayakan keselamatan nelayan pantai sehingga ada daripada kami nyaris maut selepas sampan dilanggar bot sehingga terbalik di perairan Sungai Nipah bulan lalu.
“Insiden turut menimpa saya pada awal Disember lalu apabila sampan dinaiki nyaris dilanggar ketika menangkap ikan di Zon A pada sebelah malam. Mujur saya sempat menyalakan lampu dan disedari bot yang menceroboh,” katanya.
20 TAHUN KES PENCEROBOHAN BERLAKU

Di Klang, Selangor, bukan sahaja hasil laut semakin berkurangan, kira-kira 170 nelayan pantai yang berpusat di Pangkalan Nelayan Sementa mendakwa, kegiatan sedemikian telah berlaku lebih 20 tahun lalu oleh mereka yang menggunakan bot Kelas A, B dan C.
Menurut Ketua Pangkalan Nelayan Sementa, Raja Nasarudin Raja Ariffin, 68, mereka yang menggunakan pukat tunda lazimnya beroperasi pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Nelayan ini turut menutup nombor pendaftaran bot mereka menggunakan guni serta tidak membuka lampu. Jadi, ini menyukarkan kami untuk mengambil gambar bot mereka, sekiranya mereka menceroboh kawasan tangkapan kami.
“Mereka yang menggunakan tiga kelas bot ini, kawasan yang sepatutnya mereka boleh tangkap bermula dari lapan batu nautika dari kawasan pesisir pantai,” katanya.
Kata Raja Nasarudin, baru-baru ini dua nelayan di pangkalannya terkorban dengan kes terbaharu berlaku bulan lalu.
Ujarnya, sudah beberapa kali pihaknya cuba bersemuka dengan kelompok penceroboh, namun mereka enggan malah cuba bertindak melanggar bot nelayan tempatan.
“Memang sangat mengecewakan. Kami sudah buat beratus kali laporan berhubung tindakan mereka kepada pihak berkuasa, namun tiada satu tindakan tegas pun yang diambil,” katanya.
Ditanya mengenai hasil tangkapan, ujar Raja Nasarudin, hasil tangkapan merosot lebih 50 peratus sejak beberapa tahun lalu.
“Kami ini bukan orang senang, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka ini sudah bermaharajalela sejak puluhan tahun lagi,” katanya.
WARGA ASING ANCAM NELAYAN PANTAI BAGAN DATUK

Nelayan pantai di perairan Bagan Datuk, Perak pula mengeluh dengan kehadiran warga asing yang diupah sebagai tekong dan awak-awak bot pukat tunda.
Wakil nelayan, Sharizal Sarwan, 42, berkata, kehadiran mereka yang sebahagian besarnya warga Indonesia, Thailand, Myanmar dan Vietnam langsung tidak mempedulikan hak yang digazetkan untuk nelayan pantai tempatan.
“Saya sendiri pernah pergi ke laut tetapi balik tangan kosong. Kalau dapat RM50, tolak kos minyak RM30 dan baki RM20, apa hendak diberi makan kepada anak dan isteri? Sebelum ini kami boleh meraih RM200 hingga RM300 setiap kali ke laut,” katanya.
Katanya, tidak diketahui sama ada warga asing itu mempunyai permit sah atau tidak.
“Kalau dahulu mereka hanya menangkap ikan pada waktu siang tetapi sekarang kalau cuaca baik, malam hari pun mereka masih menangkap ikan,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Jamil Mahusin, 57, berkata, kehadiran bot pukat tunda yang dikendalikan warga asing semakin bertambah daripada 20 bot beberapa tahun lalu meningkat hingga 60 bot.
“Mereka menangkap ikan hingga kawasan projek tukun tiruan dan mengganggu pembiakan ikan. Perkara ini amat dikesali dan memperlihatkan betapa mereka bebas melakukan apa sahaja,” katanya. – UTUSAN