IPOH: Polis meminta pemandu bas yang terlibat dalam nahas meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik kelmarin, agar tidak mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada mana-mana pihak.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebarang kenyataan yang dibuat itu bukan sahaja dikhuatiri mengganggu siasatan pihak berkuasa malah akan menimbulkan spekulasi lain.
“Saya ingin menasihatkan pemandu bas agar tidak membuat kenyataan kepada pihak lain kerana kita khuatir apa juga kenyataan yang diberikan mungkin akan mengganggu siasatan.
“Kalau boleh, bersabarlah sedikit. Tunggu sehingga kenyataannya direkodkan terlebih dahulu, selepas itu barulah boleh bercakap apa yang dia mahu.
“Apa pun, kita tidak boleh paksa. Dia berhak untuk bersuara dan di pihak polis, kita hanya boleh menasihatkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Terdahulu, menerusi laporan media, pemandu bas berusia 39 tahun itu mendakwa masalah teknikal termasuk brek bas gagal berfungsi menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dalam kejadian di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik.
Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, dakwaan bahawa masalah teknikal termasuk kegagalan fungsi brek menjadi punca nahas itu hanya boleh disahkan oleh agensi berkaitan.
Katanya, siasatan penuh terhadap kenderaan terbabit perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat berhubung dakwaan berkenaan.
“Sebab ini melibatkan banyak sudut siasatan dan kita perlu melihat daripada pelbagai perspektif sama ada bas itu sendiri, pengendali, keadaan jalan dan sebagainya. Jadi, ia melibatkan banyak aspek teknikal juga.
“Adalah lebih baik kita tunggu dan beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan awal atau spekulasi kerana setiap perkara pasti ada sebabnya.
“Kita perlu jalankan siasatan secara menyeluruh terlebih dahulu. Kemudian hasil siasatan itu akan dimaklumkan kepada umum,” katanya. – UTUSAN