Nahas UPSI: Elak perjalanan pelajar waktu malam, antara cadangan diterima KPT

Nahas UPSI: Elak perjalanan pelajar waktu malam, antara cadangan diterima KPT

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan serta syor daripada pelbagai pihak bagi mengelak nahas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam berulang.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, antara syor diterima termasuk memastikan perjalanan pelajar universiti dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih di atas pandangan dan syor diberikan, namun ia juga perlu dengan lebih menyeluruh termasuk keadaan jalan, tahap keselamatan kenderaan dan beberapa aspek lain.

“Ada yang mengesyorkan supaya perjalanan bagi pelajar-pelajar universiti dan mahasiswa sekarang ni perlu dibuat pada waktu siang dan tidak lagi di waktu malam.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam bahawa kita juga kena periksa kenderaan, keadaan jalan dan semua aspek lain,” katanya ketika ditemui pada sesi makan tengah hari bersama Pengarang Media sempena Program Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 KPT, di sini hari ini.

Katanya, beliau sendiri sempat menziarahi ahli keluarga dan mangsa yang cedera dalam nahas itu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Baninun (HRPB), semalam.

Zambry berkata, beliau secara peribadi bersimpati dengan nasib menimpa mangsa dan perasaan sedih dihadapi ahli keluarga

“Kesian lah tengok, saya tidak dapat bayangkan mereka (mangsa) balik untuk jumpa keluarga dan bila mahu balik ke kampus (UPSI).

“Ada ahli keluarga yang hantar mereka naik bas (pada malam itu) dan ada yang ‘bye-bye’ kepada Ibu bapa mereka dan selepas empat jam tiba-tiba (nahas),” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau juga telah dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dinaiki pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) awal pagi tadi.

“Saya baru dapat maklumat mengenai nahas itu pagi tadi. Tapi tiada kecederaan,” katanya.

Seramai 15 pelajar UPSI maut, manakala 27 pelajar lagi cedera selepas bas dinaiki mereka terlanggar belakang Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbabas di Jalan Raya Timur- Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Media hari ini pula melaporkan, seramai 13 pelajar UMPSA adalah antara 28 penumpang sebuah bas ekspres yang terbabit kemalangan melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, berdekatan Maran, Pahang awal pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN