Nahas UPSI: Arwah Fakhrul mahu sambung belajar luar negara - Zoey Rahman - Utusan Malaysia

Nahas UPSI: Arwah Fakhrul mahu sambung belajar luar negara – Zoey Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Zoey Rahman, terkejut apabila dimaklumkan sepupunya menjadi salah seorang mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi Isnin.

Jelas Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 40, sepupunya iaitu Allahyarham Fakhrul Arif bin Rosdi dalam perjalanan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris selepas pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di Besut, Terengganu.

“Selama ini kita dengar situasi ini berlaku kepada orang lain, bila terkena kepada ahli keluarga tersendiri ada rasa terkilan. Saya pun terkejut menerima berita ini.

“Kejadian itu berlaku pukul tiga pagi, kami ahli keluarga belum dimaklumkan lagi situasi kemalangan. Pukul 7 pagi semalam baru kami menerima khabar yang arwah sudah meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Difahamkan jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Kampung Pasir Akar, Besut pada Isnin.

Dalam pada itu, Zoey turut merasai kehilangan sepupu yang disifatkan sebagai seorang lelaki muda yang sopan, bijak dan tidak banyak kerenah. 

“Kali terakhir jumpa arwah semasa Hari Raya Aidilfitri tempoh hari. Dia seorang sangat pendiam bijak, berdikari dan hidup dalam dunia seorang yang santun dan baik. 

“Sebak bila nampak adik-beradik dia berkongsi momen terakhir sebelum arwah menaiki bas. Mak dia juga ada kongsi, arwah pernah cakap mahu sambung belajar ke luar negara. Tak sangka ‘luar negara’ yang dimaksudkan rupanya negeri abadi,” cerita Zoey. 

Sementara itu, Zoey menggesa pihak berwajib untuk menjalankan usaha signifikan bagi mengekang tragedi sebegini berulang kembali termasuk memeriksa keadaan lampu jalan dan situasi pemandu bas.

“Saya tahu kita tak boleh salahkan sesiapa dan redha. Sepatutnya pihak berkuasa kena peka dengan keadaan pemandu bas, juga keadaan bas. Begitu juga jalan dan lampu sepanjang jalan adakah ia mencukupi,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 15 individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat JRTB, Gerik awal pagi ini.

Difahamkan bas itu dalam perjalanan ke kampus Universiti itu dari Jerteh, Terengganu.

Sebahagian mangsa nahas kemalangan di JRTB yang kini dirawat di Hospital Gerik berada dalam keadaan kritikal. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN