Nahas pelajar UPSI: Sistem brek, mekanikal bas berfungsi dengan baik

Nahas pelajar UPSI: Sistem brek, mekanikal bas berfungsi dengan baik

bas
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan awal siasatan terhadap kemalangan yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Isnin lalu mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal pada bas berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keadaan fizikal bagi brek bas termasuk kesemua pelapik dan dram brek semua gandar berada dalam keadaan memuaskan.

Menurutnya, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak mengesan sebarang ketidakseragaman pada dram brek mahupun kenipisan pada pelapik brek.

“Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Anthony, pemeriksaan pada fizikal tayar pula mendapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Komponen bahagian stereng dan penyerap hentakan juga secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan.

“Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan,” katanya.

Terdahulu, Syarikat Bas Kenari Utara mendakwa masalah teknikal termasuk brek tiba-tiba gagal berfungsi menjadi punca kemalangan .

Pegawai Operasinya, Nazri Nawi berkata, maklumat itu diperoleh selepas pihaknya berhubung dengan pemandu bas berkenaan.

Anthony berkata, besar kemungkinan kemalangan itu berpunca daripada faktor-faktor lain seperti manusia, keadaan jalan dan sebagainya.

“Langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN