PETALING JAYA: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa pelaksanaan cadangan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijangka bermula 1 Julai ini ditangguhkan bagi memberi ruang kepada kajian impak sosio-ekonomi dilaksanakan secara menyeluruh.
Ahli Lembaga Amanah MTEM, Mohd. Syahnis Salleh berkata, langkah tersebut penting khususnya bagi melindungi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat Bumiputera yang berpotensi terkesan akibat peningkatan kos operasi.
“MTEM difahamkan tarikh pelaksanaan asal iaitu pada 1 Mei 2025 telah ditangguhkan oleh Kementerian Kewangan, namun tarikh baharu masih belum diumumkan secara rasmi.
“Walau bagaimanapun, maklumat yang kami peroleh menunjukkan pelaksanaan itu berkemungkinan bermula pada 1 Julai 2025,” katanya dalam kenyataan.
Cadangan perluasan SST yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 merangkumi beberapa sektor utama termasuk sewaan hartanah komersial, perkhidmatan pembinaan dan pengubahsuaian, pendidikan swasta, penjagaan kesihatan untuk warga asing serta perkhidmatan profesional berasaskan yuran.
Sehubungan itu, beliau berkata, MTEM menggariskan lima tuntutan utama kepada kerajaan berhubung cadangan berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan.
“Pertama, kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan secara menyeluruh sehingga kajian impak dilaksanakan, terutamanya terhadap kos operasi usahawan, daya saing sektor terlibat dan kesan kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
“Kedua, proses libat urus yang menyeluruh perlu dilaksanakan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk persatuan industri, dewan perniagaan, wakil PKS, pemain sektor pendidikan swasta dan kesihatan serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Ketiga, kerajaan wajar mempertimbangkan mekanisme pengecualian atau kadar SST istimewa bagi sektor yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat seperti pendidikan swasta, penjagaan kesihatan untuk warga asing dan PKS,” ujarnya.
Menurutnya, tuntutan keempat ialah memperkenalkan insentif sokongan seperti pelepasan cukai, rebat kos, skim subsidi atau geran latihan bagi membantu PKS menyesuaikan diri dengan perubahan struktur cukai.
“Kelima, pelaksanaan SST perlu dilakukan secara telus dan teratur dengan garis panduan yang jelas, mudah difahami serta tidak membebankan pihak industri, termasuk dari segi pematuhan dan kawalan harga bagi mengelakkan kenaikan yang tidak munasabah,” ujarnya.
Mohd Syahnis berkata, setiap dasar percukaian yang diperkenalkan harus mengambil kira kesejahteraan rakyat dan daya saing ekonomi negara secara menyeluruh.
“MTEM menyeru agar kerajaan menilai semula cadangan perluasan SST ini secara teliti melalui pendekatan yang inklusif dan berdasarkan bukti.
“Kami juga menyarankan supaya segala bentuk penguatkuasaan dan pelaksanaan cukai baharu ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi benar-benar pulih,” katanya. – UTUSAN










