Minhyuk Monsta X mohon maaf abaikan peminat - Utusan Malaysia

Minhyuk Monsta X mohon maaf abaikan peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota kumpulan popular Korea Selatan, Monsta X, Minhyuk akhirnya bersuara selepas lama berdiam diri berhubung gosip hangat kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pempengaruh.

Sejak khabar angin itu tular, Minhyuk menerima kecaman hebat daripada segelintir peminat yang mendakwa dirinya mula mengabaikan sokongan mereka, terutama menjelang ulang tahun ke-10 kelab peminat Monbebe.

Susulan itu, Minhyuk, 31, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada peminat menerusi satu kenyataan, sambil mengakui kelewatannya dalam menangani isu berkenaan.

“Saya benar-benar minta maaf kepada Monbebe, yang selama ini setia menunggu detik penting ulang tahun ke-10 kami.

“Saya mengaku salah kerana tidak memberikan maklum balas lebih awal,” katanya dengan penuh kesal.

Menurut Minhyuk, segala tohmahan dan kecaman yang dilemparkan kepadanya bukan sahaja mengganggu kestabilan emosinya, malah turut menjejaskan kehidupan keluarga tersayang.

“Sangat mengecewakan. Paling menyedihkan apabila keluarga saya turut terkena tempias,” ujarnya lagi.

Jelas penyanyi dan penari berbakat itu, meskipun dirinya cuba memujuk hati dengan mengatakan itu semua adalah sebahagian daripada tugas sebagai artis, tekanan emosi yang ditanggung semakin sukar dibendung.

“Walaupun saya cuba memberitahu diri saya ini semua sebahagian daripada tugas sebagai selebriti, ia menjadi terlalu berat untuk ditanggung,” luahnya dengan nada kecewa.

Terdahulu, Minhyuk sememangnya dikenali sebagai salah seorang anggota Monsta X yang mesra peminat serta aktif berkomunikasi menerusi pelbagai platform media sosial.

Namun sejak tularnya gosip percintaan itu, ia sekali gus menimbulkan pelbagai andaian dalam kalangan peminat.

Minhyuk turut menyeru agar peminat tidak mudah mempercayai dakwaan yang belum disahkan dan berharap hubungan baik antara dirinya dan Monbebe dapat kembali seperti sediakala.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN