KETIKA filem debut Zahiril Adzim sebagai pengarah menjengah ke panggung, ramai yang berkira-kira adakah Martabat Misi Berdarah yang menyindir sikap tidak profesional artis dan layanan pilih kasih diambil daripada kejadian sebenar?
Sebagai salah seorang pelakon dalam filem itu, Shiqin Kamal ketawa dan tersenyum manis mendengar soalan diajukan. Shiqin atau Nur Ashiqin Mohd. Kamal, 34, sudah semestinya banyak merasai sepak terajang sepanjang 15 tahun cuba mengukuhkan nama sebagai anak seni. Apalagi, dia juga bermula sebagai pelakon tambahan yang tidak mempunyai dialog.
Tidak berniat mahu membuka pekung menyalahkan sesiapa, pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Lagenda Budak Setan (2010) mengakui wujud layanan pilih kasih mengikut populariti seorang selebriti.
“Masa awal-awal dahulu, saya ingat lagi situasi di mana pada asalnya saya ditempatkan dalam sebuah hotel yang disediakan pihak sponsor.
“Tapi bila ada pelakon yang namanya lebih popular datang, saya dan pelakon lain dipindahkan ke rumah tempat penggambaran dijalankan,” ceritanya.
Bukan itu sahaja, Shiqin mengakui pernah berhadapan situasi tubuh badannya dikatakan berisi, oleh itu pihak produksi hanya menyediakan buah-buahan untuknya sepanjang penggambaran.
“Saya dilarang untuk makan seperti orang lain. Sepanjang di set penggambaran, pihak produksi hanya beri saya makan buah daripada pagi, tengahari sampai malam.
“Selepas itu saya ada berehat sekejap daripada industri seni dan sambung belajar. Bila kembali berlakon saya sudah tanamkan dalam diri untuk tidak lagi benarkan diri dibuli. Jika sesuatu perkata itu melampau, saya akan bersuara,” ceritanya yang berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, Universiti Teknologi Mara pada 2014.
DIVA UNTUK YANG LAYAK
Bagaimanapun, bercerita tentang sikap selebriti yang berlagak diva, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu merasakan ada segelintir artis yang memang layak mendapatkan layanan sebegitu cuma berpada-pada agar tidak dilihat biadab dan keterlaluan.
“Pernah juga berhadapan situasi artis yang dikatakan diva. Ada satu masa kami diminta jalan kaki ke lokasi penggambaran sebab dekat sahaja. Tapi ada seorang pelakon ini tidak mahu berjalan, dia nak dihantar menggunakan van.
“Bila lihat kelakuan seperti itu, saya ada tanamkan dalam diri untuk tidak bersikap sebegitu jika sudah popular.
“Tapi pada masa yang sama, saya tak boleh nak salahkan mereka juga sebab adakalanya mereka perlu bersikap begitu untuk ingatkan semua orang kedudukannya. Mungkin sebelum ini ada yang samakan mereka dengan orang lain.
“Jadi dia buat begitu supaya orang hormat dia. Itu saya boleh terima. Tapi bukanlah setiap masa berlagak diva dan jangan melampau,” tambahnya.
Ditanya apakah pendekatan yang dilakukan Shiqin bagi mengelak sebarang drama di set penggambaran, dia lebih selesa untuk berdiam diri lebih-lebih lagi dia memang seorang wanita introvert.
“Saya tidak bergaul sangat. Di set penggambaran saya banyak buat hal sendiri sebab mahu simpan tenaga bekerja. Tapi kalau bekerja dengan orang muda, mereka suka nak berbual. Jadi saya layan dan ajar sikit jika mereka perlukan.
“Saya elak sebarang drama di set penggambaran, cuma mahu hidup senang sahaja,” katanya.