PETALING JAYA: Permohonan melucutkan hak bangunan Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu hadapan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia adalah tindakan susulan selepas pihaknya memohon pembekuan aset kepada Ketua Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, semalam.
Kata beliau, pelucutan hak itu dijangka dilakukan mengikut Seksyen 55 atau 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Kita sudah membuat permohonan kepada Ketua Pengarah Pejabat Tanah di bawah Seksyen 51.
“Langkah selanjutnya dalam tempoh terdekat ini, kita akan memohon di bawah Seksyen 56 atau 55 di bawah akta sama untuk melucutkan aset berkenaan (Menara Ilham),” katanya di sini hari ini.
Seksyen 55 memperuntukkan pelucutan harta selepas sabitan dan terdapat sabitan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA manakala Seksyen 56 pula pelucutan sivil tanpa sabitan dan boleh dilakukan sekiranya tiada sabitan atau pendakwaan terhadap mana-mana pihak.
Mengulas mengenai penyitaan Menara Ilham kali kedua, Azam berkata, ia membabitkan dua akta berbeza.
“Sitaan pada Disember 2023 adalah menggunakan Akta SPRM 2009 manakala kali ini membabitkan Akta Penggubahan Wang Haram,” jelasnya.
Semalam, SPRM memaklumkan Menara Ilham akan disita sekali lagi selepas pada 21 Disember 2023 pernah melaporkan, suruhanjaya itu menyita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat itu.
Notis penyitaan ketika itu bertarikh 18 Disember disiarkan melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita, dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.
SPRM berkata, pihaknya mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita bangunan dikaitkan dengan Daim berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) AMLATFPUAA 2001 bertarikh 4 Jun 2025.
Sebelum ini, tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga, berjaya dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan nilai berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).-UTUSAN