PETALING JAYA: Di sebalik kesibukan jalan raya dengan deruan enjin motosikal, tersembunyi pengorbanan wira-wira tanpa uniform yang saban hari meredah panas, hujan dan kesesakan demi memastikan makanan sampai ke pintu rumah tepat pada waktunya.
Menghargai jasa mereka, McDonald’s Malaysia kembali dengan inisiatif #MekdiBelanjaRider yang menyantuni 70,000 penghantar makanan di seluruh negara dengan pemberian hidangan percuma.
Naib Presiden Kanan McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, inisiatif tersebut merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting golongan rider dalam menyokong perkhidmatan penghantaran serta menghubungkan McDonald’s Malaysia dengan para pelanggan di seluruh negara.
Katanya, program yang diperkenalkan sejak 2021 itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan McDonald’s Malaysia dalam menghargai komuniti rider yang berkhidmat tanpa mengira masa dan lokasi demi memenuhi keperluan pelanggan selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Program ini dilancarkan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan abang-abang serta kakak-kakak rider yang menjadi tulang belakang dalam memastikan kelancaran sistem penghantaran makanan kepada pelanggan.
“Tanpa mereka, makanan McDonald’s tidak akan sampai ke rumah, sekolah atau pejabat pelanggan tepat pada masanya. Hari ini, 70,000 rider diraikan dengan hidangan percuma daripada McDonald’s.
“Kami sediakan menu istimewa kerana kami faham kadangkala mereka terlalu sibuk dan tidak berkesempatan untuk mencuba menu baharu atau yang popular di McDonald’s. Maka, kami rancang sesuatu yang bermakna dan khas buat mereka sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Melati yang juga Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia berkata, kempen #MekdiBelanjaRider bukan sahaja terbuka kepada mereka yang berkhidmat untuk McDelivery malah turut diperluaskan kepada penghantar makanan daripada rakan penghantaran rasmi seperti GrabFood, ShopeeFood dan foodpanda termasuk syarikat penghantaran lain.
Beliau berkata, pihaknya melihat para ‘rider’ sebagai sebahagian daripada nadi penting dalam ekosistem penghantaran yang menyokong operasi harian syarikat serta membantu meningkatkan hasil jualan makanan.
“Kita sering bertanya, ‘Di mana makanan saya?’ tetapi jarang kita bertanya kepada rider, ‘Abang dah makan? Kakak dah minum?’. Mereka tetap komited bekerja tanpa mengira siang, malam, panas terik atau hujan demi mendapatkan rezeki yang berkat.
“McDonald’s amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan mereka sebagai sebahagian daripada komuniti kami yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat melalui makanan yang digemari oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, penghantar makanan foodpanda, Khairul Jefri Abi Hurairah, 45, menyifatkan kempen #MekdiBelanjaRider sebagai satu bentuk penghargaan yang cukup bermakna kepada komuniti rider yang selama ini bertungkus-lumus menjalankan tugas tanpa keluhan.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja menyuntik semangat malah membuatkan golongan itu berasa dihargai dan diiktiraf atas usaha harian mereka dalam memastikan perkhidmatan penghantaran berjalan lancar.
“Saya amat menghargai usaha McDonald’s dalam menghargai para rider. Selama ini, orang selalu kata kami ni ‘wira tak didendang’ sejak
zaman PKP lagi sampai sekarang. Ini dah kali kedua saya sertai program McD macam ni dan saya bersama rakan-rakan rider lain amat
berterima kasih kepada McD kerana sudi berkongsi rezeki.
“Setiap hari kami keluar masuk restoran, ambil pesanan dan hantar kepada pelanggan. Jadi bila McD buat program khas untuk rider,
terasa juga dihargai. Sekurang-kurangnya kami tahu ada pihak yang nampak usaha kami. Terima kasih banyak kepada McD,” katanya.
Selain itu, penghantar makanan Shopee Food, Muhammad Fathurrahman Mohd. Yazli, 25, berkata, pemberian makanan percuma itu bukan sahaja meringankan beban harian, malah secara langsung membantunya menjimatkan perbelanjaan makan tengah hari yang biasanya menelan
kos sekitar RM20 sehari.
“Bila dapat tahu McD beri makanan percuma kepada penghantar makanan, saya memang terkejut. Tak sangka ada pihak yang betul-betul hargai usaha kami.
“Bagi saya, sumbangan seperti ini amatlah membantu lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Setidak-tidaknya, satu waktu makan kami dah terjaga,” katanya.

Dalam pada itu, penghantar makanan McDelivery, Kiptiani Mohamad, 36, turut menyatakan rasa syukurnya apabila berpeluang menyertai kempen #MekdiBelanjaRider buat pertama kali sejak ia diperkenalkan empat tahun lalu.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan malah turut menyuntik semangat untuk terus bekerja dengan lebih gigih kerana adanya pihak yang prihatin terhadap keperluan dan kebajikan mereka.
“Saya memang tahu McD ada buat program begini sejak dulu tapi ini pertama kali saya terlibat secara langsung. Alhamdulillah, rasa seronok sangat bila ada pihak yang ingat dan hargai kami sebagai ‘rider’.
“Bila kita tahu tengah hari nanti ada makanan disediakan, secara automatik rasa lebih bersemangat. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang ditunggu-tunggu,” katanya. – UTUSAN