LIPIS: Seorang lelaki berusia 56 tahun maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di Kilometer 30 Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), dekat Cheger Perah, Merapoh di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mangsa, Mohd Ruzi Moh Yusof dalam perjalanan pulang ke Tanah Merah, Kelantan selepas mengambil anak perempuannya yang menuntut di Universiti Geomatika Malaysia, Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta jenis Proton Persona bersama anak perempuannya yang berusia 19 tahun. Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan di kiri dan kanan laluan, lalu terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknyamengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan. – UTUSAN