KOTA TINGGI: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Mawai-Kuala Sedili, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Ahmad Harawiyi Mohamad Mokhtar, 81, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan melibatkan motosikal Honda 110 yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta Proton Saga dipandu wanita berusia 52 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang dari arah Tanjung Sedili menuju ke Kota Tinggi. Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai membelok secara tiba-tiba ke kanan untuk masuk simpang, menyebabkan kereta dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN