Masih cuba pujuk, Rushdi enggan lepaskan Nora - Utusan Malaysia

Masih cuba pujuk, Rushdi enggan lepaskan Nora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Suami kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin, iaitu Dr Rushdi Ramli kekal dengan prinsipnya untuk terus mempertahankan rumah tangga dengan isteri.

Diwakili oleh peguam syarie, Azmi Mohd Rais, Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya (UM) itu tidak mahu mengubah pendiriannya itu kerana masih sayangkan isterinya.

Jelas Azmi, anak guamnya selaku defendan juga tidak dapat hadir pada proses pelantiikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.

“Anak guam saya memohon maaf tidak dapat hadir hari ini kerana terlibat dalam satu seminar mewakili Universiti Malaya yang berlangsung di Brunei selama lima hari bermula semalam.

“Apa yang anak guam maklumkan, dia masih sayang kepada isteri. Insya-Allah ada ruang untuk berdamai.

“Nora juga mempunyai hak sama ada masih ingin meneruskan atau tidak (perceraian), tapi Rushdi masih lagi dalam usaha memujuk,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah hari ini.

Sementara itu, berkongsi mengenai prosiding hari ini, jelas Azmi, pihaknya sudah meminta untuk meminda tarikh lebih awal namun tidak mendapat kelulusan daripada pihak mahkamah.

“Kami sudah mohon untuk bawa kes ini awal, tapi mahkamah tak benarkan (untuk Rushdi hadir).

“Hari ini, plaintif sudah melantik Rafeah Ariffin sebagai wakil JKP.

“Pihak kami juga sudah mengenal pasti wakil JKP Rushdi iaitu Syamsul Omar yang juga rakannya. Hari ini kami hanya ambil tarikh seterusnya bagi laporan JKP,” katanya.

Pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.

Sementara pada sebutan pertama 6 Mei lalu, Rushdi enggan melafazkan cerai terhadap Nora kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya.

Katanya, dia menyayangi Nora bahkan tidak mahu perceraian berlaku kerana perkara tersebut ditegah dalam Islam.

Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.

Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN