Maritim Malaysia Kuala Kurau lupus 1,742 bubu naga - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia Kuala Kurau lupus 1,742 bubu naga

BUBU naga yang dilupuskan Maritim Malaysia Kuala Kurau di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau melupuskan 1,742 unit bubu naga yang dirampas sepanjang tahun lalu di sekitar perairan Kuala Kurau, Kuala Gula, Kalumpang dan Bagan Panchor di sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pelupusan bubu naga tersebut yang dipotong dan diserahkan kepada Majlis Daerah Kerian (MDK) dilakukan di sini hari ini selepas mendapat perintah mahkamah.

Menurutnya, rampasan bubu naga tersebut adalah hasil pelaksanaan Ops Sayong, melibatkan jarak operasi sejauh 123 kilometer sepanjang pantai bermula dari Bagan Panchor hingga ke Bagan Tiang.

“Taburan rampasan bubu naga ini agak sekata iaitu di sepanjang kawasan operasi namun Kuala Kurau dan Kuala Gula mencatatkan jumlah tertinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, antara taktik yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab ialah memasang bubu naga secara terancang menggunakan penanda bendera dan sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkan mereka mengesan lokasi bubu yang dipasang di laut.

Beliau berkata, lokasi bubu naga ditandakan menggunakan bendera-bendera kecil dan setiap jalur biasanya terdiri daripada 30 hingga 50 unit bubu naga.

“Kini mereka lebih canggih menggunakan GPS untuk menanda lokasi, menjadikan ia lebih sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Hairil berkata, meskipun terdapat cabaran untuk mengesan lokasi bubu naga yang menggunakan GPS, Maritim Malaysia sentiasa memperkemas kaedah penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan tersebut.

Katanya, bubu naga adalah peralatan yang tidak selektif dan menjejaskan populasi ikan kerana turut memerangkap anak ikan, penyu dan spesies marin terancam selain merosakkan habitat dasar laut.

“Sepanjang tempoh rampasan yang membawa kepada pelupusan hari ini, hanya dua kes tangkapan direkodkan membabitkan warga asing.

“Kita percaya apabila tangkapan dibuat, ia memberi kesan langsung kepada aktiviti mereka. Kebanyakan pengusaha ini akan lebih berhati-hati selepas mengetahui tindakan penguatkuasaan sedang dijalankan,” katanya.

Mohd Hairil memberitahu, setakat ini pihaknya masih menggunakan kaedah manual untuk menarik bubu naga dari laut yang memerlukan tenaga fizikal yang tinggi.

“Kami mengakui ia satu proses yang mencabar kerana bubu naga sangat berat terutama apabila terendam di dalam air namun kami sedang menilai kemungkinan untuk memperkenalkan teknologi baharu bagi memudahkan proses ini pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN